Tuesday, September 27, 2016

Srikandi Mengulas: Perdagangan Dunia Melayu-China Hingga Kurun Ke-16 Masehi (5 bab awal)








Salam semua,



Hidup dan nasib
roller coaster
roller coaster
Susah dan senang bersilih ganti
Bila-bila boleh naik dan turun
Bila-bila boleh naik dan turun



 

Srikandi agak perasan sibuk semenjak dua menjak ini. Maklumlah dapat APC tahun ni. Orang pun mulalah bagi tugasan itu dan ini. Padahal Srikandi junior lagi. Tapi itu tak mengapa sebab Srikandi memang suka bidang yang Srikandi ceburi ni. Bila kita suka dengan apa yang kita buat, ia seolah-olah bukan kerja bagi kita tetapi semacam hobi pulak. Hobi di masa lapang. Macam gitulah lebih kurang. :D

Apa yang Srikandi melalut ni. Okay, sini ada buku yang nak diulas. Tajuk dia ialah: Perdagangan Dunia Melayu-China Hingga Kurun ke-16 Masihi : Satu Tinjauan Sejarah & Arkeologi. Ia adalah kumpulan artikel ilmiah dari pelbagai penulis. Editor bagi buku ini ialah Nazaruddin Zainun dan Nasha Rodziadi Khaw. Buku ini diterbitkan oleh Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Ia mengandungi 10 bab atau 10 artikel yang disumbang oleh 14 orang penulis yang berlatarbelakangkan bidang masing-masing, umumnya menjurus kepada bidang sejarah dan arkeologi. Srikandi akan ulas secara ringkas tiap-tiap bab. Dalam posting ini Srikandi ulas 5 bab awal dulu.

Okay, kita mulakan bab pertama.

Bab pertama: Taburan Ruangan Kerajaan Melayu Awal di Semenanjung Tanah Melayu Sehingga Kurun ke-15, menyentuh tentang kaedah atau metodologi bagi mendapatkan data-data tentang kerajaan-kerajaan Melayu awal di semenanjung. Antara kaedah itu adalah:

1) GIS (Geographic Information System)

2) ANN (Average Nearest Neighbour)

3) Kernel Analysis

4) Central Feature Analysis







Saya tertarik dengan satu subtopik "Melayu" yang menekankan bahawa orang Melayu adalah pribumi semenanjung dan bukannya datang dari China atau sebagainya. Artikel menegaskan teori sarjana asing yang menyatakan kononnya orang Melayu datang dari arah China pada zaman Neolitik adalah disanggah oleh sarjana tempatan, sementelah sebenarnya orang Melayu telahpun ada sejak Zaman Batu lagi, mendiami sepanjang Segenting Kra dan utara Tanah Melayu.

Bertitik tolak dari itu, orang Melayu telah membuka beberapa kerajaan di semenanjung Tanah Melayu khususnya. Ini termasuklah Kedah Tua, Langkasuka, Pan-pan, Chih-tu dan sebagainya. Semua kerajaan-kerajaan ini berhubung melalui perdagangan sesama mereka di sepanjang pesisir pantai, di muara sungai hinggalah pedalaman.

Bab kedua: Hubungan China-Semenanjung Tanah Melayu Sehingga Abad ke-14 Masehi mengungkapkan tentang kronologi hubungan kerajaan-kerajaan Melayu dengan China. Di sana terdapat tiga sumber atau rekod dari China yang mengungkapkan hubungan ini. 

1) Cerita dinasti: dikompilasi oleh pegawai istana pada hujung sesebuah dinasti.

2) Ensiklopedia China: koleksi penulisan sejarah atau historiografi lebih awal.

3) Topografi: catatan topografi oleh pelayar China




Daripada semua sumber di atas, sejarahwan dapat membuat gambaran bagaimana keadaan sosio-politik dan ekonomi pada masa silam di perairan Nusantara khususnya sekitar semenanjung. Saya tertarik dengan satu kerajaan di semenanjung bernama 'Fu-Kan-Tu-Lu' dan 'Shen-Li' (dalam sebutan China) yang membuat hubungan dengan Maharaja Wu-Ti daripada Dinasti Han pada tahun 141 hingga 87 Sebelum Masehi berdasarkan rekod Chi'en Han Shu. Ini satu data yang boleh dikatakan baru kerana belum popular didengar dan dibaca oleh kita selama ini. Kajian lanjutan hendaklah dibuat untuk menghuraikan lebih mendalam kedua-dua kerajaan awal ini.




Bab ketiga: Perhubungan Perkapalan dan Perdagangan Nusantara-China Sejak Zaman Awal mengupas tentang jalan perdagangan, kegiatan perkapalan termasuk membawa barangan dan mengangkut penumpang serta hubungan ekonomi maritim antara kerajaan-kerajaan Nusantara dengan China pada zaman-zaman awal. Sesuatu yang agak menarik kerana secara faktanya, pelaut Melayu bergiat aktif sebagai perantara dalam kegiatan perkapalan di Nusantara dan ini terakam kemas dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang menyaksikan Merong sendiri sebagai pengendali Kunlun-po yakni jong atau perahu yang digunakan oleh pelaut Melayu untuk mengangkut penumpang dan barangan.

Kupasan tentang hubungan perdagangan ini banyak berkisar kepada para pedagang China yang datang berdagang ke Nusantara. Hakikatnya memang kurang pedagang dari Nusantara yang berdagang secara kekal di sebelah China berbanding pedagang China yang datang berdagang di Nusantara, tinggal di sini, dan beranak-pinak di sini. Kupasan merentasi zaman Kantoli, Moloyu, Srivijaya, Melaka, Aceh dan perdagangan era kolonial.

Bab keempat: Hubungan Ufti China-Dunia Melayu Sebelum Masihi Hingga Kurun ke-11 Masihi: Satu Analisis pula memaparkan hubungan berbentuk 'diplomasi ufti' yang mana budaya menghantar ufti dan hadiah bagi tujuan berkenalan dan berdagang dari kerajaan-kerajaan di Alam Melayu dengan China. 

Perlu ditekankan di sini, walaupun ada pihak yang menganggap bahawa memberi ufti ini umumnya sebagai tanda mengiktiraf supremacy entiti yang menerima ufti, ini bukanlah maksud sebenar atau keseluruhannya bagi tujuan kerajaan-kerajaan Melayu berbuat demikian. Hubungan ufti ini lebih kepada simbiosis menang-menang di antara mereka dengan China, dengan objektif mendapatkan keuntungan di antara kedua-dua belah pihak.

Apabila saya melihat sekali lagi nama kerajaan 'Fu-Kan-Tu-Lu' dan 'Shen-Li' muncul lagi yang mana tercatat keduanya memberi ufti ketika zaman Dinasti Han, maka saya mula terfikir, salah satu kesan hubungan ufti ini adalah semacam 'pengiktirafan' juga dari sebelah pihak China kepada kerajaan yang memberi ufti dan ini dicatatkan nama kerajaan itu di dalam rekod dinasti mereka. Jika kedua kerajaan ini tidak memberi ufti, kita tidak kan tahu ada kerajaan di semenanjung yang wujud ketika Dinasti Han. Malah saya rasa ramai tidak tahu nama dua kerajaan ini (walau dalam sebutan China).





Bab kelima: Kesan Kebangkitan & Kemerosotan Kedah Tua: Kesan Perkembangan Srivijaya & Dasar Dinasti Sung mengungkapkan kaitan naik dan turun kerajaan Kedah Tua berkait rapat dengan perkembangan Srivijaya yang bertindak sebagai 'konglomerat perdagangan' maritim pada masa itu dan juga polisi atau dasar Dinasti Sung, yang mana ia mempengaruhi pergerakan perdagangan Srivijaya dan ini secara tidak langsung mempengaruhi juga ekonomi Kedah Tua.

Kita seharusnya faham apakah peranan dan fungsi sebenar Srivijaya sebagai 'konglomerat perdagangan'. Srivijaya bertindak sebagai penguasa entrepot yang juga berfungsi sebagai feederport yakni tempat pengumpulan segala barangan dari seluruh negarakota atau pelabuhan yang bergabung di bawah kumpulan atau persekutuan atas nama Srivijaya. Srivijaya akan membawa semua barangan ini dan diperdagangkan ke China atau menjalankan kegiatan eksport-import di pelabuhan utamanya seperti di Kedah Tua. Inilah punca Kedah Tua dan pelabuhan-pelabuhan pesisir lain di Selat Melaka khasnya menjadi kaya-raya. Hubungan ufti juga menjadi faktor di mana kawalan perdagangan adalah berdasarkan hubungan ufti ini.

Saya melihat ada dua cara polisi ini dijalankan:

1) Perdagangan hanya diterima dari entiti yang diiktiraf. Tanpa entiti yang diiktiraf, ibarat tidak boleh 'open table'. Dalam kes ini, hanya kapal-kapal yang membawa nama Srivijaya sahaja yang boleh berdagang dengan Dinasti Sung sebagai contoh. Pedagang dari negeri lain tidak akan lepas atau tidak mendapat keistimewaan berdagang dengan baik berbanding Srivijaya.

2) Kapal-kapal milik kerajaan China yang akan berdagang hanya di pusat entrepot di pelabuhan-pelabuhan yang bersekutu dengan Srivijaya.

Namun apabila polisi berubah di penghujung era Dinasti Sung, di mana polisi monopoli dihapuskan dan konsep perdagangan bebas diamalkan, ini menjejaskan keistimewaan bagi pusat-pusat entrepot Srivijaya terutamanya Kedah Tua. Kapal-kapal kerajaan dari China bebas berdagang ke mana-mana pelabuhan di Nusantara. Negeri-negeri berasingan juga bebas berdagang dengan China. Ini menjadikan persaingan yang tidak menguntungkan kumpulan Srivijaya yang menghadapi perpecahan. Lama kelamaan pelabuhan Kedah Tua mula merosot dan akhirnya ditinggalkan selepas abad ke-13 Masehi.




RUMUSAN









Membaca buku ini (setakat 5 bab awal ini), saya merasakan tidak begitu klise dengan pandangan-pandangan yang biasa diutarakan sarjana luar yang bias. Inilah yang saya maksudkan dan mahukan. Ada orang yang sentap atau terasa tak bersebab dek kerana saya selalu mengingatkan bahawa jangan terlalu obses dengan pandangan pegawai kolonial kerana disamping pandangan yang bias, pandangan mereka ketinggalan zaman. Saya bukan berkata tentang data-data atau usaha-usaha penulisan sejarah yang mereka kumpulkan, tetapi PANDANGAN, KESIMPULAN dan GENERALISASI yang mereka simpulkan tentang kita dan sejarah kita. Pandangan itulah yang pertama sekali mesti ditapis, bukan diangguk mentah-mentah tanpa menggunakan akal. 

Tak tahulah pula pegawai penjajah itu masih dirasakan 'tuan' atau 'master' bagi dirinya seperti kebanyakan orang pada zaman kolonial. Bagi saya yang hidup di zaman pasca-merdeka ini, takperlulah obses sangat dengan historiografi yang dibuat mereka. Gerakkan akal untuk menapis pandangan dan maklumat dari mereka. Mereka bukannya nabi atau Tuhan. Mereka manusia biasa macam kita. :D 

Dengan membaca tulisan para sarjana tempatan begini, dengan kajian rapi dan terperinci, kita boleh lihat dakwaan-dakwaan pegawai kolonial itu boleh disanggah.

Kita akan sambung 5 bab terakhir selepas ini.



~Srikandi







7 comments:

  1. lawa baju cik seri hehe

    ReplyDelete
  2. Menarik dan padat.
    Jika banyak karya-karya sejarawan tempatan dirujuk maka tidaklah terlalu berkiblatkan orang putih.
    Tahniah Srikandi.

    ReplyDelete
  3. Saya meminati tulisan2 Srikandi sejak 2010.Teruskan berjuang untuk anak bangsa.

    ReplyDelete
  4. Sungguh menarik baca pasal srivijaya jadi pusat entrepot tu

    ReplyDelete
  5. Di sini saya ingin membetulkan adik srikandi dan editor buku tersebut bahawa orang melayu tidak membuka apa-apa kerajaan di Semenanjung Malayur (tanah berbukit) ini dan ungkapan 'kerajaan2 melayu awal' adalah tidak tepat sama sekali. Dan untuk pengetahuan adik dan visitor2 blog ini, "Hikayat Merong Mahawangsa or The Kedah Annals is an ancient Tamil literature that chronicles the bloodline of Merong Mahawangsa and the foundation of the Kedah, a state in Malaysia". Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hikayat Merong Mahawangsa bukanlah 'an ancient Tamil literature' dan tiada manuskrip asli hikayat ini dalam bahasa Tamil. Orang Melayu juga memang membuka banyak kerajaan awal di sepanjang Segenting Kra dan semenanjung Tanah Melayu dan ini dibuktikan dalam rekod-rekod antarabangsa.

      Editor dan penulis buku ini adalah para sarjana sejarah dan ahli arkeologi. Harap maklum.

      ~Srikandi

      Delete
  6. contoh terbaik ialah kerajaan gangga negara yang tidak mempunyai rekod dari china mungkin kerana tidak menghantar utusan atau ufti....menyebabkan sukar dicari dan dikesan peningalanya

    ReplyDelete