Saturday, December 12, 2015

Ulasan Buku "Mencari Diri & Erti"




Salam semua,

Kali ini Srikandi ingin mengulas sebuah buku berkonsepkan travelog sejarah yang ditulis oleh saudara Radzi Sapiee atau nama penanya Merah Silu. Ulasan ini juga atas permintaan penulis yang saya mesra memanggilnya sebagai 'Kekanda Merah'.

Ada 7 bab kesemuanya dan dalam buku ini lebih kepada pengembaraan penulis mencari kaitan sejarah Aceh dengan beberapa garismasa yang berlaku di beberapa tempat dalam sejarah Melayu di semenanjung khasnya di Perak, tempat kelahiran ayahnya.

Jadi topik utamanya ialah sejarah Aceh, sebab itu tajuk asal buku ini ialah 'Berpetualang ke Aceh'.

Bab mukaddimah lebih mengupas mengapa beliau mengembara untuk menjejak sejarah. Buat pengetahuan pembaca, diri penulis dalam karya-karya 'Berpetualang ke Aceh' diwakili watak Muhammad al-Aminul Rashid yang merupakan anak sulung beliau. Juga disebutkan dalam bab ini, 'mengapa berpetulang ke Aceh' dan mencari jejaknya. Jawapannya ialah selain Kesultanan Melaka, Kesultanan Aceh juga sebenarnya perlu diberi perhatian sebagai satu kerajaan di Alam Melayu yang juga adalah pusat pengembangan agama Islam dan salah satu kuasa besar di Selat Melaka selepas kejatuhan Kesultanan Melaka. Aceh juga memiliki sejarahnya yang tersendiri bersama sejarah negeri-negeri Melayu di semenanjung seawal kerajaan-kerajaan sebelum Kesultanan Aceh tertegak seperti Kerajaan Samudera-Pasai dan Kerajaan Perlak.




Bab pertama lebih kepada sebab yang menjadi faktor tolakan dan tarikan beliau mengambil keputusan untuk 'berpetualang'. Akibat ditegur oleh Pak Syed ketika hampir menjelang Malam Tahun Baru, Rasyid terus keluar untuk 'menenangkan dirinya'. Dalam hal ini saya melihat Rasyid merasa tersinggung dengan teguran panas dari Pak Syed dan mengambil keputusan untuk berkelana bagi menenangkan perasaannya. Saya ingin tahu juga mengapa Rasyid cepat tersinggung ketika itu.

Sementara itu, watak Pak Syed dalam buku ini, kuat di hati saya bahawa watak ini adalah Pak Habib (Syed Hussein Al-Attas) dan ini semakin kuat dalam bab 6 di mana penulis telah berehat di rumah Pak Syed di Kampung Janda Baik.

Berbalik kenapa Rasyid cepat tersinggung, rupa-rupanya kehidupan lampau Rasyid penuh dengan cabaran dan kekecewaan. Maka bermulalah bab pertama ini melayarkan cerita-cerita kisah lampau Rasyid yang pada mulanya adalah seorang 'budak genius' namun kemudian menghadapi dilema dalam mengharungi kehidupan dan ini sedikit-sebanyak menghauskan bakatnya.

Saya memikirkan masalah Rasyid adalah lebih kurang seperti kisah hidup Mohd. Shukri Hadafi namun tidaklah seserius masalah yang dihadapi anak angkat Prof. Diraja Ungku Aziz itu.

Saya mula merasa syok membaca kisah-kisah asrama Rasyid, dan ini merupakan khazanah pengalaman yang amat berharga. Kadang-kadang diselang-seli dengan gambar item-item tahun 80-an bersekali dengan penerangannya. Ini cukup menghiburkan.

Bab ini diakhiri tentang sejarah Kesultanan Perlak yang sejarahnya masih kabur dan misteri.








Bab 3 pula menceritakan perjalanan Rasyid ke negeri kelahiran ayahnya, Perak. Selain banyak cerita berunsurkan travelog, saya tertarik tentang sentuhan kisah Sultan Alauddin Riayat Syah, sultan Melaka yang berperibadi soleh dan adil. Ada sesetengah pihak suka mengutip mana-mana petikan negatif dalam Sulalatus Salatin atau mana-mana sahaja untuk menggambarkan raja-raja Melaka dan rakyat dari sudut negatif seperti minum arak dan suka berpesta. Namun siapa sangka ada juga di antara pemerintah Melaka, yang soleh dan adil dalam memerintah sehingga tidak digemari oleh para pembesar.

Bab 4 lebih menceritakan sambungan pencarian penulis tentang kaitan sejarah Perlak dan Perak. Ia bermula sekitar kisah Keramat Bidor yang asalnya ialah raja yang merajuk membawa diri ke Perak akibat perselisihan dalam hal takhta kerajaan di Sumatera. Saya mengagak, pasti kerajaan yang dimaksudkan itu sama ada Perlak atau Pasai namun saya cenderung kepada Pasai.

Di hujung bab ini terdapat daftar raja-raja Perlak. Bila saya mengkaji sejarah Perlak, ada menyebutkan tentang Maharaja Po He La Syahir Nuwi. Ini memang misteri. Nama raja ini berbau gelaran Champa, padahal garismasanya sekitar abad ke-9 Masehi. Kisah Syah Pau Ling dan bermulanya Kesultanan Aceh baru abad ke-16. Adakah terdapat generasi Champa awal yang berhijrah ke utara Sumatera?

Bab 5 pula adalah seakan bab monolog atau bab monumental untuk didedikasikan kepada Allahyarhamah nenek penulis.

Di dalamnya seakan bersambung atau penjelasan kepada bab pertama. Tentang kisah hidup semasa zaman sekolah dan remaja, juga zaman kolej dan ia disampaikan dalam versi luahan perasaan penulis kepada neneknya melalui surat.



 Bab 6 sekitar Rasyid yang sampai ke Pulau Pinang dalam perjalanannya ke Aceh. Saya tertarik dengan kajian penulis tentang nama pemerintah yang terpahat dalam Prasasti/Batu Nisan Minye Tujuh di Aceh.

Dalam buku itu diceritakan bahawa raja yang mengaku sebagai 'empunya hak' Kedah dan Pasai itu adalah Ratu Nurul A'la. Dalam daftar raja-raja Pasai, memang ada seorang ratu perempuan yang memerintah iaitu Ratu Nahrasyiyah namun baginda mangkat pada tahun 1428 Masehi (17 bulan Zulhijjah 831 yang tercatat di batu nisannya). Raja Iman dalam Prasasti Minye Tujuh mangkat pada 781 Hijrah bersamaan 1379 Masehi. Ini satu kontradiksi. Saya sendiri memiliki pendangan siapakah sebenarnya Raja Iman ini berdasarkan nama keluarganya yakni Barubhasa yang boleh dikaitkan dengan negeri-negeri Melayu Segenting Kra.

Kemudian saya enjoy membaca kisah pengembaraan Rasyid mendaki Gunung Nuang. Saya merasa agak cemas sedikit kerana Rasyid sampai di puncak lewat petang dan hanya membawa sebotol air mineral dan 'sebuku roti'. Saya hanya bertanya dalam hati, takkanlah nak turun dalam gelap malam tanpa lampu suluh? Saya pernah mendaki gunung dalam program universiti dan saya tak dapat bayangkan mengharungi hutan rimba dalam gelap malam tanpa tujuan dan cahaya.

Bab 7 pula lebih berkisarkan tentang tokoh-tokoh Sufi terutama Syeikh Abdul Qodir al-Jailani. Tiada apa yang perlu diulas panjang, cuma kisah ketua segala wali ini ketika kecil dengan para perompak telah menggamit kenangan saya semasa kelas agama di sekolah rendah.




KESIMPULAN






Buku ini adalah berkonsepkan separa travelog yang santai. Penceritaannya juga agak bebas. Ia tidak terikat dengan format-format yang tetap. Penulis seolah-olah memasukkan apa jua memori ketika kecil dan remaja dan dicampurgaulkan dengan pencariannya sejarahnya.

Kolum-kolum kecil yang menerangkan item-item tertentu dalam cerita sedikit sebanyak menghiburkan dan menghilangkan kebosanan mata membaca.

Usaha penulis mengetengahkan sejarah Kesultanan Perlak dan Samudera-Pasai amat-amat dihargai kerana sejarah kedua-dua kerajaan ini agak kabur. Mengetahui sejarah kedua-dua kerajaan ini amat penting untuk kita memadankan dengan sejarah di semenanjung terutama sejarah negeri Perak dan Kedah. Ini kerana Kerajaan Pasai contohnya memiliki 'prospektusnya' sendiri yakni Hikayat Raja-raja Pasai yang sama kategori dengan Sulalatus Salatin (Kesultanan Melaka), Pararaton (Singhasari) atau Negarakratagama (Majapahit) sekadar menamakan beberapa contoh, yang mana Hikayat Raja-raja Pasai ini ditulis dalam Bahasa Melayu Klasik!

Walaupun ada beberapa kontradiksi dalam buku ini, namun itu tidaklah menghilangkan keseronokan membacanya, sementelah dihiburkan dengan aksi-aksi penulis ketika muda yang agak hippies dan ranggi. Contohnya babak Rasyid mandi dengan selambanya di kolam air pancut di Trafalgar Square.

Kisah pencarian penulis mencari sejarah bangsa Melayu selepas mengharungi hidup agak kebaratan dan liar benar-benar menginspirasikan. Betapa sejarah itu mampu menjadi kompas kepada kebaikan dan perubahan diri bagi siapa yang mampu memikirkan hikmah di sebaliknya.
















~Srikandi
Emas Para Dapunta & Maharaja