Tuesday, October 18, 2016

Emas Para Dapunta & Maharaja: Ulasan dari Nazmi Yaakub









Memang banyak ulasan atau review bagi buku ini. Kali ini saya paparkan ulasan dari Tuan Nazmi Yaakub yang saya kira menarik dari segi pandangan seorang jurnalis yang disegani. Ulasan ini diambil dari Goodreads.



                                                                           ***********






Saya jarang memberikan perhatian kepada buku yang menghimpunkan catatan daripada laman sosial tetapi untuk buku ini, saya memberikan pengecualian. 

Ini kerana ia adalah sejarah bangsa sendiri yang selama ini diletakkan pada penjuru paling hina oleh pelbagai kelompok bangsanya daripada politikus dan aktivis yang ada kepentingan politik sempit kepada Melayu kelas pertengahan yang sudah fasih berbahasa Inggeris dan berbudaya Anglo-Saxon tetapi gagap dalam pembacaan serta budaya ilmu kepada Islamis yang menganggap Melayu itu assabiyah dan assabiyah itu ke neraka (hasil pemahaman simplistik yang salah dalam makna agama) serta kalangan bukan Melayu yang membaca sejarah dengan cermin mata dan kerangka fikir yang diberikan oleh imperialis yang sebahagiannya memiliki kepentingan politik sempit juga.

Memang buku ini menampilkan penulisan yang memiliki unsur dramatik dan sedikit bumbu sedikit romance yang barangkali kerana ia diambil secara langsung daripada media sosial tetapi ia tidak menjejaskan semangat dan substance hakikat sejarah bangsa Melayu yang besar serta masih dalam bentuk puzzle seperti yang ditegaskan oleh pengarangnya sendiri. Ini menjadikan buku ini ibarat sebuah penerokaan ala Tomb Raider atau lebih awal, Indiana Jones. Elemen emosi yang disuntik, mengangkat buku ini lebih jauh daripada new journalisme yang masih terhad elemen peribadinya.

Disebabkan ia dipindahkan daripada laman sosial, ia turut membawa nada kemarahan pengarang terhadap sejarawan dan pengkaji khususnya pemimpin yang dianggap malas membuat kajian lapangan dan hanya mengambil output daripada orientalis serta sarjana berkepentingan serta golongan yang gagal memahami hakikat sejarah bangsa Melayu yg kaya.







Memang sukar untuk membawa satu naratif besar bangsa Melayu selepas bangsa ini melalui penjajahan ratusan tahun daripada Portugis, Belanda hingga Inggeris yang bukan hanya menggunakan kuasa imperialisme, bahkan turut menghunus pena orientalisme yang beracun sehingga mengelabui dan mengherot-berotkan pandangan serta jiwa bangsa yang dijajah mereka. Kemudian, kita diberikan peta yang sudah dipetak-petakkan, buku yang sudah disunting dan diubah serta pemikiran yang sudah lama diserkup dengan penjajahan minda.

Apa yang dilakukan oleh pengarang dan sejarawan lain yang sebelum ini memanfaatkan media sosial untuk mengembalikan naratif sebenar suatu bangsa yang besar, masuk ke tahap yang seterusnya, iaitu penulisan sejarah yang diharap dapat memperbetulkan salah tanggap dan salah faham bangsanya sendiri.

Kita berharap mereka dapat membukukan naratif sebenar ini yang masih lagi terpecah-pecah untuk dihubungkan kembali dan dihidangkan dengan cara yang lebih baik lagi.




Nazmi Yaakub
Editor Sastera Berita Harian.

Thursday, October 6, 2016

Buku-buku Srikandi di Pesta Buku Borneo 2016





Membaca adalah jambatan kepada pendidikan. Berapa ramai manusia yang berpusing-pusing di dalam kepompong kemiskinan dan kebuluran kerana tidak berjuang untuk pendidikan mereka? Membaca adalah senjata untuk pendidikan. Buku adalah peluru-pelurunya. Siapa yang ingin kamu bunuh?

Kebodohan. Membaca untuk melawan kebodohan.

Jadi bersempena dengan ini, Srikandi nak ajak warga pulau terbesar di Asia dan ketiga terbesar di dunia ini supaya ramai-ramai ke Borneo Book Fair 2016 yang bertempat di 1Borneo Hypermall di Kota Kinabalu, Sabah.




Reruai kami yang siap sedia!



 Acara ini bermula dari 6 hingga 10 Oktober dan ia dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam.

Jadi para pembaca dari Sabah dan Sarawak yang asyik mesej Srikandi dalam emel mahupun media sosial tentang buku-buku Srikandi bolehlah ke sana ya. Reruai kami ialah Booth 029 yang bernama 'Terfaktab Puteh'.

Jumpa kami di sana!


~Srikandi