Monday, May 15, 2017

Rentaka Sekalian Bijasura Yang Laku Keras Di Pesta Buku




Sudah lebih seminggu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 meninggalkan para pencinta buku. Banyak kenangan manis dan bermakna sepanjang pesta buku berlangsung. Teristimewa bagi saya sendiri yang mengeluarkan buku Rentaka Sekalian Bijasura (RSB), buku saya yang terbaru.

Alhamdulillah, buku RSB telah lakukeras sepanjang pestabuku. Sebenarnya buku ini hampir-hampir lewat keluar untuk pestabuku kerana senarai judul buku-buku lain yang beratur di kilang cetak pada hari sebelumnya berlangsung pestabuku itu. Namun akhirnya pada pukul 8 malam 28 haribulan April buku tersebut sampai ke reruai penerbit saya. Malam itu juga buku-buku itu direbut dan ada yang memborong sampai 25 buah sekaligus! Malah hari itu RSB terus meroket bestseller di kaunter penerbit saya! Malah buku-buku saya yang lain yakni Emas Para Dapunta & Maharaja (cetakan pertama 2015)  dan Baiduri Segala Permaisuri (2016) juga lakukeras mengikut rapat RSB.

Hari seterusnya, RSB terus berada pada kedudukan pertama selama 10 hari berturut-turut. Pada 6 Mei, buku Emas Para Dapunta & Maharaja telah kehabisan stok.



Buku RSB nampaknya menjadi fenomena di kaunter penerbit saya yang juga mengeluarkan buku-buku yang bermutu dan menepati selera pembaca generasi hari ini. Masyarakat membeli dan berkongsi kegembiraan mereka memiliki buku saya tanpa segan dan silu. Topik sejarah terutama sejarah Melayu bukan lagi sesuatu yang terasing dalam ruanglingkup akademik, sekolah atau lulus periksa sahaja tetapi sesuatu yang bagaikan azimat membantai kelesuan hidup, untuk mengalir sebagai adiwira.









Lebih mengejutkan, hari terakhir pestabuku, RSB telah kehabisan stok! Saya pun tidak menyangka pada awalnya dan apabila para pembaca yang datang pada hari itu bertanyakan kepada saya, ada atau tidak RSB lagi, saya hanya menjawab ya sahaja. Bukan apa, saya ketika itu tidak menyangka buku yang baru panas keluar kilang cetak takkanlah terus out-of-stock. 






Berikut adalah carta 10 hari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di kaunter penerbit saya.


Carta Bestseller Terfaktab PBAKL 2017




















Masyarakat minat sejarah yang apa, yang bagaimana?



Kejayaan Rentaka Sekalian Bijasura menunjukkan masyarakat gemar membaca sejarah yang mengandungi nilai-nilai kemanusiaan dan memberikan faedah kepada kehidupan mereka. Sejarah yang memberikan suntikan semangat kepada para pembacanya untuk bergerak ke depan, tak kira bagaimana  hitam atau putihnya sejarah itu.

Mana-mana bahagian sejarah yang pilu, sedih dan gelap akan menunjukkan kepada mereka jalan terang bagi menghindarkan ia berlaku dan sebagai obor penyuluh masa depan.

 Mana-mana yang memberitahu tentang kehebatan, kegemilangan, kebijaksanaan dan sebagainya dijadikan bahan api untuk terus maju ke depan dan meraih kejayaan.

Masyarakat tidak ada masa untuk tenggelam di dalam persoalan yang kurang menyentuh kemanusiaan dan kehidupan marhaen mereka seperti bergaduh pasal tarikh-tarikh yang mana betul mana salah atau bergocoh tentang watak-watak di dalam sejarah Melayu yang mana mitos yang mana benar. Bagi mereka itu amat membuang masa dan menyerabutkan kehidupan mereka yang sudah sedia serabut dengan 1001 masalah kehidupan yang perlu diselesaikan. Perkara-perkara itu sepatutnya diselesaikan oleh sesama sejarahwan dan so-called cendekiawan yang mengaji sejarah bertahun-tahun itu.






Mereka memerlukan sejarah yang memberikan mereka pelajaran demi pelajaran untuk menawar masalah kehidupan mereka. Pelajaran sejarah yang benar-benar 'real' dan praktikal di dalam kehidupan mereka. Mereka mendambakan sejarah yang menjana enjin pemerkasaan jatidiri mereka, bukannya repekan-repekan so-called sejarah yang memakihamun keyakinan diri mereka.

Mereka ingin membaca sejarah seperti rakyat di negara-negara maju membaca sejarah. Menjaga sejarah dan memulihara sejarah. Kita selalu terkagum-kagum mengapa rakyat di negara-negara terbabit begitu produktif mengeluarkan filem-filem, novel, karyaseni dan sebagainya yang menyangkut tentang sejarah mereka sehingga berjaya mengeksportnya ke serata dunia. Kita tidak mahu belajar bagaimana mereka memanfaatkan sejarah mereka ke arah hasil yang positif tidak seperti sesetengah dari kita menjadikan sejarah untuk menerbitkan kemurungan, perasaan inferior dan berpenglipurlara sepanjang masa, tanpa ada sedikit pun pelajaran ke arah positif yang mampu diekstrak darinya.

Apapun tahniah kepada yang memiliki buku-buku saya dan terimakasih!

~Srikandi
Rentaka Sekalian Bijasura
  












Monday, April 3, 2017

Buku Baru Akan Terbit : Rentaka Sekalian Bijasura





Salam,

Akhirnya buku terbaru saya hampir keluar menemui para peminat sejarah terutamanya sejarah Melayu. Kini semasa artikel ini ditulis, ia telah memasuki fasa akhir semakan dan menanti untuk dicetak.

Rentaka Segala Bijasura, begitulah namanya adalah kumpulan tulisan-tulisan saya tentang sejarah Melayu yang berkait dengan sejarah dunia. Selalu kita melayan sejarah Melayu seperti ia terperuk di dalam tempurung sendiri namun melalui pendekatan saya, kini kita boleh membaca sejarah Melayu bersama-sama sejarah dunia.

Rentaka ialah sejenis meriam mudah alih atau meriam kecil yang terkenal di Nusantara sebelum diceduk konsepnya oleh pihak Belanda dan Sepanyol. Bijasura pula adalah semacam jawatan khas bagi hulubalang istana gaya Kesultanan Melaka yang bertugas sebagai ketua pengiring diraja, tugas-tugas khas (seakan-akan komando atau tentera elit) dan ketua intelijen.

Rentaka Sekalian Bijasura membawa erti rentaka terbaik yang menjadi senjata para bijasura yang semestinya adalah dari lelaki-lelaki terpilih yang bijak dan gagah berani. Senjata yang terbaik mestilah dikurniakan kepada bijasura yang merupakan kedudukan yang berprestij di istana.

Ini video teaser bagi buku Rentaka Sekalian Bijasura.
 




Rentaka Sekalian Bijasura adalah buku ketiga Srikandi bagi karya sendiri dan keenam keseluruhannya. Konsep buku ini adalah sekitar sikap dan pemikiran sejarah pasca-merdeka. Pemikiran pasca-merdeka ni bahasa mudahnya ialah pemikiran sejarah yang matang, tak dikongkong tapi ia bertujuan jelas untuk memanfaatkan masyarakat yang memiliki sejarah itu.

Buku ini ada satu makalah dalam bidang arkeologi dan dua kertaskerja akademik dalam bidang genetik. Mukadimah oleh ahli-ahli akademik dan para pelajar sejarah. Ia terdiri daripada tulisan-tulisan berkaitan sejarah Melayu dan hubungkaitnya dengan sejarah dunia. Ada segmen pemikiran sejarah pasca-merdeka, manuskrip Melayu, isu-isu di tapak arkeologi di Lembah Lenggong dan Sungai Batu serta perbincangan secara saintifik asal-usul orang Melayu sebagai salah satu dari rumpun Malayo-Polinesia dan Austronesia bersumberkan kajian ahli akademik dalam dan luarnegara.

Walaupun begitu, sebab sejarah ni universal maka pelajaran dari buku ini boleh dicerna oleh sesiapa sahaja tidak kira dia siapa dan apa warna kulit dia.

Buku ini lebih garang jika dibanding dengan sebelumnya. Sesuai dengan namanya, ia penuh dengan kata-kata seruan menaikkan semangat yang saya gelar sebagai "The Battlecry". Sememangnya kita selamanya berada dalam 'peperangan' dan tidak sepatutnya kita mendidik masyarakat supaya merasa bangsat. Sejarah semestinya mendidik kita menjadi berani dan kuat.

Apa pun nantikan kemunculannya nanti di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 28 April 2017 ini.


~Srikandi







Sunday, February 5, 2017

Manuskrip Buku Baru





Saya telah menghantar manuskrip buku terbaru pada penerbit minggu lepas. Jadi tunggulah Pesta Buku Kuala Lumpur nanti buku tu keluar. Kalau ikut perancangan, begitulah.

Jadi masuk ini dah kira hatrik-lah buku-buku saya. Buku-buku saya ni straight-to-the-point. Sejarah Melayu sebagai major. Kadang-kadang kita boleh lihat ada buku-buku ala-ala sejarah tapi dia macam diari peribadi. Sikit-sikit takpelah tapi ini dah macam kita baca luahan perasaan atau kenangan. Campur-aduk kisah-kisah masa kecil dan masalah diri sendiri macam masalah awek dan kerja bertukar-tukar atau 1001 satu memori dimuat masuk. Buku-buku saya tak macam tu, lagi-lagi buku ketiga ini lagi berat dari dua buku sebelum dia. Jadi kalau perasan, buku-buku saya mula dari Emas Para Dapunta & Maharaja konsep dia dari ringan keberat. Format dia pun macam tu. Dari format naratif kemudian format artikel-artikel ilmiah, kemudian ajak pembaca berfikir.

Buku ketiga ni ada sikit-sikit notakaki untuk memudahkan pemahaman dan rujukan disamping berlambak bibliografi belakang dia, yang menjadi rujukan dan rujuksilang saya. Rujukan dan rujuksilang ada beza tau. Kadang-kadang apa yang kita rujuksilang tu, tak semestinya kita ambil pendapat dia. Contoh, saya rujuk silang A dan B. Tapi saya cenderung kepada pendapat A dan menyiarkan rujukan B sebagai bibliografi itu sekadar material untuk rujuksilang sahaja, sebagai bukti subjek itu ada dibincangkan oleh sarjana lain, sebagai contoh.



Memang saya ada latarbelakang bidang sejarah secara akademik, cuma pendekatan saya dalam menyampaikan pelajaran dari sejarah itu sedikit berbeza. Menyampaikan pelajaran dari sejarah dengan hanya berkongsi info-info pasal sejarah ada beza tau. Menyampaikan pelajaran dari sejarah ni kerja sejarahwan sebenar. Ia dah masuk kerja-kerja ahli falsafah sikit. Maksudnya, maklumat dari sejarah itu kita ekstrak dan ambil patinya untuk dirumuskan faedah darinya. Tak kisahlah ia sejarah yang darkside atau sejarah yang buat kita bangga. Tapi tugas pure historian ni ialah ekstrak pelajaran dan pengajaran dari sejarah supaya faedahnya dapat dikecapi oleh masyarakat.

Kalau sejarah itu sejarah yang buat hidung kita kembang kempis, maka kita akan beritahu masyarakat lebih kurang "kalau korang buat macam ni, korang akan dapat faedah macam ni, tengok mereka telah berjaya". Kalau sejarah itu sejarah yang membuatkan kita sedih, marah, geram dan down, maka kita akan nasihatkan begini, "lihat, kalau korang buat begini, korang akan jadi begini...nak jadi macam ni lagi tak?"

Jadi beginilah sejarah berfungsi. Ia sebagai nasihat, ia ibarat ibu yang menggalak dan menegur anaknya.

Kadang-kadang apa yang kita buat dalam bidang kita ini orang marah pada satu ketika, kemudian pada ketika lain, dia pun ikut konsep sejarah yang kita dok perjuangkan. Jadi, kefahaman sejarah ni macam kefahaman agama, maksud saya kejahilan akan berkurang mengikut masa atau usia setelah manusia itu melalui proses-proses kematangan. Jadi, kalau dia tak melalui proses-proses kematangan itu maka ia tetap dalam kejahilan yang bobrok. Kita tak dapat nak tolong orang macam ni.

Dalam buku terbaru saya ni banyak konsep-konsep macam tu. Semua itu saya gelarkan ia sebagai 'battlecry'. Laungan-laungan yang membangkitkan kesedaran dan motivasi.





Tulisan-tulisan saya beroperasi secara online dan offline. Alhamdullillah, kedua-duanya berjaya. Seperti baru-baru ini buku saya termasuk dalam senarai buku terbaik sepanjang tahun lepas (2016), oleh salah satu gergasi penerbitan negara. Buku saya terpilih berdasarkan undian, populariti dan tinjauan dari para pembaca buku seluruh negara.

Adakah apa yang saya dapati ini membuatkan saya mendongak sentiasa? Sudah tentu tidak dan bidang sejarah ini adalah karier dan minat saya sepanjang hidup. Untuk buku terbaru ini, saya bekerjasama dengan beberapa individu bagi memastikan jurang antara tembok akademik itu mampu dirapatkan kepada masyarakat terutama anak-anak muda. Ini adalah antara tugas dan misi saya kini setelah beberapa perbincangan dengan wakil kerajaan dan institusi berkaitan.

Mengapa orang-orang ini percaya kepada saya? SEBAB NILAI DALAM TULISAN DAN PEMIKIRAN SAYA. 

Selalulah bersama saya dalam mengikuti perkembangan seterusnya.

~Srikandi