Wednesday, September 28, 2016

Srikandi Mengulas: Perdagangan Dunia Melayu-China Hingga Kurun Ke-16 Masehi (5 bab akhir)




Salam semua,


Srikandi akan menyambung ulasan 5 bab akhir pula untuk buku Perdagangan Dunia Melayu-China Hingga Kurun ke-16 Masihi : Satu Tinjauan Sejarah & Arkeologi. 

Okay, kita mulakan dengan bab keenam.

Bab keenam: Perdagangan Dunia Melayu-China: Kajian Kes Kerajaan Awal di Kelantan membongkar kerajaan awal di Kelantan yang tidak ramai memberikan fokus kepadanya. Kita sedia maklum bahawa sejarah Malaysia terutamanya di semenanjung banyak tertumpu di sebelah pantai barat seperti Melaka dan Kedah namun di sebelah pantai timur agak kurang popular. Padahal, berdasarkan rekod-rekod imperial China, mereka juga mencatatkan hubungan dengan kerajaan-kerajaan di sebelah pantai timur contohnya kerajaan Fo-lo-an, Pan-pan, Tan-tan dan yang paling diberi perhatian, Chih-tu.

Bab ini banyak menekankan kepada kerajaan Chih-tu.Kerajaan Chih-tu ini dalam sebutan China, ia juga sebenarnya bermaksud 'Tanah Merah' atau dalam bahasa Sanskritnya Raktamrttika. Menariknya, nama 'Raktamrttika' ini ditemui pula tercatat pada Prasasti Buddhagupta yang ditemui di Pulau Pinang. Menurut bab ini, ia menunjukkan bukti kewujudan kerajaan Tanah Merah ini. Saya amat bersetuju dengan penemuan dan kajian para sarjana tempatan dalam hal ini, sebagaimana yang disebut di dalam bab keenam ini. Ada facebooker yang merepek mengatakan Raktamrttika adalah merujuk kepada biara di India namun ini adalah salah sama sekali kerana terjemahan pada Prasasti Buddhagupta itu menunjukkan ia bermaksud 'kerajaan' atau 'wilayah' berbanding sebuah biara atau pusat pengajian. Biara di barat Bengal itu dikenali sebagai Lo-to-mi-chih dalam rekod China, bukannya Chih-tu yang bermaksud yang sama dengan Raktamrttika pada Prasasti Buddhagupta. Tambahan pula usia Prasasti Buddhagupta dicatatkan selari dengan kebangkitan Chih-tu yakni abad ke-6 Masehi berbeza dengan biara di Bengal tersebut muncul pada abad ke-7 Masehi dan dilawati oleh Xuanzang, seorang sami China.




Chih-tu ini adalah kerajaan yang maju dan bertindak sebagai feederport kepada pelabuhan Oc-Eo di Delta Mekong, yang umum dikaitkan dengan Funan. Nama jawatan-jawatan dalam sistem pentadbirannya siap disebut dalam rekod China dengan terperinci seperti To-Na-Ta-Cha, Chia-Li-Mi-Chia dan sebagainya. Kajian tentang Chih-tu ini masih berjalan dan diharap lebih banyak penyelidikan dilakukan tentangnya memandangkan kerajaan ini amat penting kerana ia dapat mengungkap lebih banyak 'missing link' di antara Funan dan Srivijaya awal.

Bab ketujuh: Seramik Perdagangan di Sungai Batu Lembah Bujang, Kedah meliputi perbincangan tentang penemuan dan kajian seramik perdagangan di Sungai Batu. Kita sudah sedia maklum, Tamadun Sungai Batu telah diiktiraf sebagai tamadun tertua di Asia Tenggara dengan pantarikhan sejauh 535 Sebelum Masehi. Terdapat berbagai-bagai jenis seramik telah ditemui di Sungai Batu menunjukkan betapa pesatnya kegiatan ekonomi di situ pada masa silam. Penemuan seramik zaman Dinasti Sung menunjukkan perhubungan dua hala antara penduduk Sungai Batu dengan para pedagang yang mengunjungi mereka. Ada subtopik yang menyentuh tentang tapak arkeologi di Sungai Batu termasuk kegiatan peleburan besi. Ini saya sudah banyak mengulas di lain-lain tulisan dan rasanya tak perlu diulas lagi.

Topik seramik perdagangan ini juga sesuatu yang menarik kerana dengan wujudnya penemuan seramik ini, maka ciri-ciri ketamadunan di Sungai Batu itu makin terbukti. Jika hanya ditemui kesan-kesan peleburan besi sahaja tanpa ada bukti-bukti terdapat produk lain yang datang dari luar, maka amat susah hendak mengaitkan terdapatnya aktiviti import-eskport atau jual-beli di situ. Dengan adanya bukti seramik perdagangan ini maka terbukti Sungai Batu pernah menjadi pusat kegiatan ekonomi yang rancak pada masa silam.






Bab kelapan: Tembikar Perdagangan Awal China di Malaysia: Tipologi dan Kronologi mengungkapkan kajian penemuan tembikar di Malaysia yang umumnya adalah tembikar-tembikar dari China. Tembikar-tembikar itu datang dari era dinasti-dinasti seperti Tang, Sung, Yuan dan Ming. Apa yang menarik ialah dengan melihat jenis dan warna sahaja sebagai contoh, kita dapat mengetahui tembikar-tembikar itu datang dari zaman mana.

Tembikar-tembikar ini ditemui di merata tempat seperti di Lembah Bujang di Kedah, Jenderam Hilir di Selangor, Pulau Tioman, Kemaman di Terengganu hinggalah di Johor. Penemuan ini menunjukkan wujudnya perdagangan yang rancak pada masa silam di antara masyarakat sini dengan orang luar yakni dengan China. Ini menunjukkan juga wujudnya kerajaan yang mentadbir urusan perdagangan itu.

Bab kesembilan: Penemuan Seramik China di Kampung Sungai Mas, Kota Kuala Muda, Kedah membincangkan tentang Sungai Mas di Kedah yang merupakan medium perdagangan yang pesat pada masa silam. Penemuan banyak artifak dan prasasti di sekitar Sungai Mas adalah bukti wujudnya kerajaan yang berdagang di situ. Di antaranya ialah Prasasti Sungai Mas I dan Prasasti Sungai Mas II.

Sama seperti penemuan seramik di Sungai Batu, produk yang sama ditemui di Kampung Sungai Mas. Sesuatu yang menarik adalah Sungai Mas ini adalah tapak tertua berbanding Pengkalan Bujang dan kawasan sekitarnya dengan penemuan artifak sejauh era Dinasti Tang (618-906 Masehi).

Bab kesepuluh dan terakhir: Jumpaan Seramik Beruas Bukti Hubungan Dagangan Dengan China meliputi perbincangan tentang penemuan seramik di Beruas, Perak. Sebenarnya Beruas juga adalah salah satu tapak arkeologi yang penting kerana kegiatan perkilangan bijih timah berjalan sejak awal Masehi lagi sehingga zaman Kesultanan Melaka. Ini memang jarang dari kita mengetahuinya. Sebab kegiatan perkilangan bijih timah inilah munculnya nama 'Perak' yakni warna produk dari bijih itu yang berwarna keperak-perakan. Saya lebih berpegang pada pendapat ini.

Saya tertarik dengan peta jalan perdagangan yang dipaparkan di dalam buku ini. Ia adalah sama dengan teori saya tentang jalan perdagangan awal yakni era awal Srivijaya sehingga ke puncak kegemilangannya.





Premis saya sangat mudah : Pelayar akan mengambil jalan paling singkat yang mungkin, dalam konteks ini, para pelayar sama ada dari arah Lautan Hindi mahupun Laut Champa akan berlayar mengelilingi semenanjung Tanah Melayu. Ini adalah peta lakaran saya dalam bab: Misteri 末羅瑜國  Dalam  南海寄内法  dalam buku saya Baiduri Segala Permaisuri :




Saya masih ingat lagi ketika mengemukakan teori ini, ada pihak-pihak yang menyanggah saya dengan kemarahan yang amat sangat. Seperti biasa, orang yang tidak berpuashati dengan saya hanya tahu marah-marah namun tidak mampu memberikan apa-apa bukti yang konkrit. Salah satunya ialah dalam kes jalan pelayaran I-Tsing.

Berbalik kepada perbincangan dalam bab ini, saya cuma tidak bersetuju dengan pernyataan pelabuhan Gangga Negara dikuasai kerajaan Chola. Dalam Prasasti Tanjore sekalipun perkataan 'Gangga Negara' itu tidak disebut walaupun perkataan itu memang berasal dari Sanskrit. Yang menyebut tentang Gangga Negara hanyalah di dalam Sulalatus Salatin dan tercatat dalam peta Claudius Ptolemy. Jadi para pengkaji haruslah berhati-hati dengan perkara ini di masa akan datang.

Seterusnya dinyatakan kronologi pelabuhan Gangga Negara yang diganti oleh kerajaan Beruas dan ini terbukti dengan penemuan pelbagai artifak di sekitar Kampung Kota dan makam-makam raja Beruas. Ingin saya tandakan di sini tentang penemuan susunan granit berusia abad ke-2 Masehi di Terong dan ini bertepatan dengan catatan Ptolemy di petanya pada abad yang sama. Menarik bukan?




Rumusan 



 


Secara keseluruhannya persembahan buku ini adalah memuaskan. Ini adalah antara contoh bagaimana para sarjana tempatan membuat kajian sendiri tentang sejarah tempat tinggalnya, juga sejarah bangsanya sendiri.Sarjana tempatan mengambil juga data-data dari pengkaji sebelum mereka terutama para pengkaji luar namun mereka cuba menyesuaikan dengan dapatan dari segi arkeologi dan pandangan terbaru dalam kajian sejarah tempatan.

Saya pernah membaca buku-buku bernuansa sejarah yang dibikin oleh penulis tempatan namun amat obses dengan pandangan asing terhadap sejarah negaranya dan bukunya itu dipenuhi pandangan dari orang luar tanpa penulis itu sendiri mahu mengkritik atau mengemukakan pandangannya sendiri. Ini adalah sesuatu yang membenakkan fikiran dan hati sementelah kita bukanlah robot yang diprogram untuk menerima sahaja pandangan orang lain. Saya hanya tahu satu benda sahaja: orang seperti ini masih cetek pembacaan dan pengetahuannya tentang sejarah dan oleh kerana itu mereka tidak berkemampuan untuk mengkritik sekalipun. Ini dinamakan simptom kemandulan berfikir.

Akhir sekali, marilah kita menyokong bahan-bahan penulisan sejarah oleh sarjana tempatan kita yang terkini. Saya ulang sekali lagi, yang terkini. Kadang-kadang penulisan sejarah awal merdeka masih berbau orientalis dan berminda penjajah. Ini tidak pelik kerana perkembangan arkeologi masih kurang di waktu itu. Kini dengan majunya bidang arkeologi, sejarah dan genetik di negara kita, kita boleh menerangkan sendiri sejarah kita adalah begini dan begitu tanpa dicampurtangan oleh buah fikiran zaman penjajah yang lapuk dan ketinggalan zaman.







~Srikandi




















14 comments:

  1. Satu persatu kunci peti2 rahsia dibuka. Banyak lagi yg bakal terungkai. JazakAllahu khairan adinda Srikandi atas perjuangan bangsa & agama.

    ReplyDelete
  2. Beruas sememangnya kesinambungan daripada Kerajaan Gangga Negara.
    Terima kasih Srikandi atas ulasan yang padat ini.

    ReplyDelete
  3. sangat bermanfaat! harap buat lagi ulasan ilmiah macam ni

    ReplyDelete
  4. Nak tengok muka Cik Srikandi boleh tak?

    ReplyDelete
  5. Nk lamar srikandi la

    ReplyDelete
  6. omg...x sangka blog ni hidup balik...yay...saje je harini menziarah blog ni...tiba2 teringat...mcm x caya plak....tgh kelip2 mata ni...lol....

    cik sri...please tolong terus menulis...banyak yg saya ingin tahu...selama bertahun2 ni mcm2 saya ingat pasal tulisan cik sri...saya suka cerita pasal keturah....juga saya nak tau lagi pasal pyramid dalam hutan di malaysia ni...yg cik sri cakap ada di satu tempat rahsia....dah lagi satu kenapa deaign puncak klcc tu sama dgn ddesign temple lama/istana lama yg ada cik sri tepek gambarnya...siapa orang disebalik design klcc tu..cik sri tau tak

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana membaca :)

      Tak tau pula saya ttg itu.

      ~Srikandi

      Delete
  7. Assalamualaikum adinda Cik Seri. Tahniah diatas cecahan lebih dari 1 setengah juta capaian. Welldone !

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih!

      Sudah lama tidak mendengar khabar berita.

      ~Srikandi

      Delete
  8. Majunya bidang arkeologi bukan bermaksud adik srikandi ini boleh memberikan pandangan semata-mata untuk mengagungkan sejarah bangsa sendiri dan menghiraukan sejarah dunia Tamil Chola. Bagaimanapun, adik srikandi masih kena rujuk pada sumber-sumber yang tepat dan bersejarah. Sejarah itu bukan bermaksud memberikan pandangan sewenang-wenangnya tetapi mencatat peristiwa silam yang benar dan mengikut ketamadanunan manusia. Keagungan dan penguasaan Kerajaan Tamil Chola Gangga Negara tidak memerlukan persetujuan adik srikandi . Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bukti-bukti dan kemajuan dalam bidang arkeologilah mesti dirujuk dalam mengungkapkan penemuan sejarah. Apa lagi bukti yang tepat jika tidak kita merujuk kepada para sarjana dan ahli arkeologi ini? Adakah kita mesti merujuk kepada 'keyboard warrior' di Facebook atau Wiki? Satu lagi, Gangga Negara tiada kaitan dengan kerajaan Chola. Tiada apa-apa tentang persetujuan di sini, sejarah adalah melalui bukti konkrit bukan dakwaan palsu. Harap maklum.

      ~Srikandi

      Delete