Sedar tak sedar, sudah tujuh buah buku saya hasilkan (tidak termasuk secara koloborasi) sejak 2015 yang lalu. Tahun ini, 2021 menyaksikan buku terbaru saya, Darah Baur Bisa Saktimuna menemui para pembaca ketika masih dalam semangat menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Judulnya saja mungkin menimbulkan misteri dan meremangkan bulu roma namun naskhah terbaru saya ini adalah kuat bertemakan mencari asal-usul Melayu. Ia tercermin dalam bab pertama buku ini, Darah Putih Melayu Asal.
Buku ini memiliki 13 bab kesemuanya iaitu:
1. Darah Putih Melayu Asal
2. Adam Sebelum Adam Di Benua Malayu
3. Misteri Gendang Malayu
4. Riwayat Malayu Pasca Banjir Besar
5. Laut Melayu
6. Riwayat Besi Malayu
7. Bab X Peradaban Malayu
8. Hang Tuah
9. Singapura Purba : 'Kata Ajaib' Dalam Sulalatus Salatin
10. Harta Karun Bukit Meriam
11. Darah Baur Bisa Saktimuna
12. Negeri Janin Mul Jawa
13. Ibukota Rahsia Srivijaya & 'Diari Mr. Brown'
Buku ini boleh dibeli di sini : SAKTIMUNA
Mencari Asal-usul
Itulah tema buku ini. Saya asalnya nak buat buku ini seperti 'puzzle' yang menarik perhatian pembaca untuik berfikir yang mana konsep ni dah lama ada dalam buku-buku di luarnegara. Namun saya fikir konsep ini terlalu 'canggih' buat pembaca-pembaca saya, jadi saya sederhanakan dulu dengan menyusun semua tulisan saya itu dalam beberapa topik yang mana semua topik itu akan memberi satu gambaran bahawa sejarah Melayu ini ada 'something' kat sana. Ada sesuatu yang perlu dicari. Perlu digali lagi.
Bab pertama itu memandu kesemua topik dan teras falsafah buku ini. Dalam cerita-cerita atau hikayat lisan Melayu, memang ada dijelaskan legenda asal-usul bangsa Melayu. Ia diwakili dalam beberapa perlambangan, antaranya DARAH PUTIH. Ia adalah berasal dari WARNA PUTIH yang memiliki maksud dalam sejarah Melayu itu sendiri. Kita sering diberitahu bahawa warna diraja adalah warna kuning, namun warna terahsia yang dipegang oleh raja itu sendiri adalah warna putih dan warna ini adalah warna bagi orang-orang 'istimewa' dalam keturunan Melayu yakni :
DARAH PRIBUMI. Darah asli.
Di sepanjang sejarah Melayu, ada watak-watak berdarah putih seperti Mahsuri, Semang Putih dan sebagainya dan ini adalah perlambangan kepada asal-usul keturunan Melayu.
Itu baru pengisahan tentang 'kod warna'. Banyak lagi perlambangan yang dijelaskan dalam buku ini termasuk LAUT dan BENUA.
Ini adalah video 'trailer' bersempena pelancaran buku Darah Baur Bisa Saktimuna pada 7 September 2021 yang lepas. Perenggan-perenggan yang muncul dalam video ini diambil dari salah satu puisi dalam buku ini.
Isu Sebelum Pelancaran
Sebelum pelancaran buku ini, saya ada kongsikan sebahagian rekabentuk kulit muka buku ini dalam satu hantaran di laman Srikandi (Facebook). Anehnya, ada seorang wargamaya marah-marah sampai tag buku saya ini kepada polis (dengan beberapa haters menyokongnya), dengan alasan bahawa buku saya ini ditulis dengan sifat dendam, tidak betul dan sebagainya.
Saya pun kongsikan perkara ini kepada para pembaca di laman saya dan mereka semua memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada saya dalam menghadapi cabaran dan dugaan ketika itu. Sesungguhnya saya amat terharu dengan sokongan pembaca terutama orang-orang Melayu yang ikhlas memberikan kata-kata dorongan. Malah mereka tidak 'cakap kosong' saja apabila Darah Baur Bisa Saktimuna lakukeras sebaik saja dilancarkan!
Minggu Pratempah Yang Mendebarkan & Cetakan Pertama Yang 'Licin'
Pada mulanya tempoh pratempah buku ini adalah mengambil masa lebih kurang seminggu, namun masa nak habis seminggu pertama tu, makin banyak tempahan dibuat maka saya meminta pihak penerbit (Penerbit Bijasura) supaya melanjutkan tempoh pratempah, sebabnya ramai pembaca yang mengadu tidak dapat membuat tempahan disebabkan trafik terlalu banyak sehingga permohonan mereka kena 'block'.
Maka tempahan pun dilanjutkan selama 2 minggu yang mana penempah awal telah menikmati potongan harga dan item-item premium yang diselitkan bersama buku.
Hasilnya, cetakan pertama yang berjumlah lebih 1500 unit telah berjaya dijual hanya selama tempoh kira-kira 2 minggu itu!
Kini Darah Baur Bisa Saktimuna memasuki cetakan ke-2 dan saya jangka awal bulan depan akan masuk cetakan ketiga ekoran jumlah stok yang semakin sedikit di tangan penerbit.
Reaksi Pembaca
Darah Baur Bisa Saktimuna (depan) bersama-sama buku saya sebelum ini |
Reaksi pembaca menyatakan buku ini amat cantik dan kemas penampilannya. Pemilihan corak pucuk rebung pada kulit mukanya menampilkan estetika seni yang tersendiri dan menggamit roh kemelayuan dalam diri pembaca. Memang saya sengaja memilih konsep minimalis dalam rekabentuk kulit muka kerana konsep begitu secara tak langsung memang menjadi tradisi buku-buku saya sebelum ini.
Pada hari ini Jumaat yang berbahagia di bulan Oktober hendak bersidang nyah kotak buku baharu; Darah Baur Bisa Saktimuna terbitan Bijasura karangan @srikandisejarah
— ꥀꥇꤺꤿ 🇲🇾🇲🇾🇲🇾 (@warkahwijaya) October 1, 2021
Jemput menjamu mata! ❤️ pic.twitter.com/HNpjYuVKXL
Anda boleh membaca komen-komen mereka pada salah seorang wakil pengedar di kedai dalam taliannya di sini.
Sejarah Tidak Pernah Melupakanmu
Menulis tentang sejarah di internet sejak di bangku sekolah (tulisan pertama saya di blog sendiri adalah semasa saya berumur 15 tahun, sebelum tulisan itu diminta oleh seseorang yang kemudiannya merupakan pemilik blog MistisFiles) sehingga sudah berkerjaya dan mendirikan rumahtangga adalah saat-saat manis dan memori indah di sepanjang hidup saya sebagai gadis dan wanita kerdil di bumi Malaysia ini.
Saya buat semua ini, sehingga kini dalam bentuk anonymous, dengan lebih 5 penerbit berlainan berurusan dengan saya. Ketika awal saya terlibat dalam penerbitan buku, ada beberapa orang yang anonymous di media sosial seperti Hamka Kereta Mayat, namun akhirnya mendedahkan identiti (istilahnya sold out hehe, gurau je) namun saya masih berjaya mengekalkan imej underground dan penuh misteri. Walaupun imej saya underground, namun karya-karya saya naik ke arus perdana dan keluar dalam media cetak dan media baharu. Buku-buku saya dibincangkan dan dikritik oleh ahli akademik dan peminat sejarah.
Diambil dari status Helmi Effendy bertarikh 30 Disember 2021, memaparkan senarai admin The Patriots, organisasi perkongsian ilmu, penerbit buku dan aktivis kemasyarakatan tersohor Malaysia. |
Apapun saya berharap generasi masa depan yang membaca tulisan-tulisan saya akan faham dan bertindak dengan pelajaran-pelajaran di dalam tulisan-tulisan saya itu. Carilah kekuatan dari asal-usulmu, kerana sejarah tidak pernah melupakanmu.
~Srikandi