Inilah tajuk buku terbaru Srikandi. Ini buku keempat Srikandi bagi karya sendiri dan ketujuh keseluruhannya. Konsep buku ini adalah sekitar memperkenalkan sikap dan pemikiran sejarah pragmatik. Pemikiran pragmatik ini bahasa mudahnya ialah pemikiran sejarah yang PRAKTIKAL, inovatif, berdaya maju dan berdaya saing, dengan menggunakan pelajaran dari sejarah itu bagi memajukan diri, masyarakat dan negara.
Buku ini terdiri daripada esei-esei yang mengupas isu-isu sekitar sejarah Melayu secara major dan dunia secara minor. Kemudian, melalui perkakas pemikiran sejarah pragmatik tadi, saya menganalisis setiap isu yang mungkin, bagi tujuan mengekstrak semua kebaikan dari sejarah itu sendiri dan merumuskannya sebagai 'blueprint' untuk anda menggunakan segala 'azimat' dan 'keramat' di dalam buku ini demi menghadapi hari mendatang. Buku ini juga menyambung topik Pemikiran Sejarah Pascamerdeka dan topik Seven Years' War yang telah keluar di dalam Rentaka Sekalian Bijasura.
Kursani Segenap Bimasakti juga penuh dengan analisis topik-topik seperti genetik Melayu, institusi raja-raja Melayu dan serangan terhadap sejarah Melayu dan orang Melayu itu sendiri yang biasanya bermotifkan politik.
Seperti biasa, sebab sejarah ni universal maka pelajaran dari buku ini boleh dicerna oleh sesiapa sahaja tidak kira dia siapa dan apa warna kulit dia.
Saya telah pun mengeluarkan video pengenalan mengenai buku terbaru ini:
Kursani Segenap Bimasakti from srikandisejarah on Vimeo.
Karya ini sudah pun keluar ketika 'demam' Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 yang lalu. Tetapi ada masalah sedikit masa tu.
Manuskrip tak sempat cetak
Manuskrip Kursani Segenap Bimasakti (Kursani) terlalu banyak mukasurat. Saya pun tak sangka. Dalam Kursani ni saya telah masukkan beberapa kajian segar, terutamanya dalam bab "Chapter X Dalam Sejarah Raja-raja Melayu". Ini bab paling 'puaka' dalam naskah ini, buatkan saya demam 2-3 hari. Bukan apa, saya tidur terlalu sedikit masa tu dek kerana nak mengkaji beberapa topik dalam bab tersebut.
Sejarah Melayu ni macam berjalan menuju ke 'rabbit hole'. Apabila saya mengkaji sekitar satu perkataan atau satu isu, ia buka banyak rahsia dan persoalan; buatkan saya terpaksa tinggalkan isu utama sekejap dan pergi ke isu-isu baru yang masa tu begitu menarik perhatian saya.
Terutama sekali semasa mengkaji riwayat-riwayat Melayu seperti Sulalatus Salatin. Nama-nama tempat sebagai contoh bila dirujuksilang memang ada dan boleh dibuktikan secara akademik. Nama-nama dalam mahakarya itu sudah pasti berbau 'mitos' atau kedengaran pelik bagi orang yang 'newbie' atau buta sejarah tetapi sebenarnya ia hanyalah isu sebutan orang Melayu terhadap satu-satu nama tempat. Cara atau trend panggilan orang Melayu dalam penulisan. Versi lidah Melayu secara ringkasnya.
Semakin dalam mengkaji, semakin dalam ia pergi. Kadang-kadang berhari-hari saya tidak balik ke isu utama, sebab isu-isu baru atau cabang semakin menarik saya masuk ke dalam dan ditambah pula satu-satu isu cabang itu mengakar kepada banyak isu-isu lain!
Ini menyebabkan saya agak lewat menghantar manuskrip ke penerbit saya dan sudah tentu mereka telah banyak kali follow up saya bertanyakan bilakah manuskrip siap?
Bila sudah hantar, bila disemak, rupa-rupanya jumlah mukasurat terlampau banyak sehingga boleh mencecah dari 600 ke 800 mukasurat. Saya terpaksa membuat beberapa pengubahsuaian sebelum akhirnya Kursani ditetapkan kira-kira 600 mukasurat untuk membolehkan pihak penerbit menetapkan harga yang berpatutan kepada pembaca dan pada masa yang sama tidak merugikan pihak penerbit dan saya sendiri selaku penulis.
Ini mengakibatkan Kursani tidak sempat menyertai PBAKL 2018 yang lalu. Memang ini telah mengecewakan para peminat dan pembaca saya. Ada yang datang 2-3 kali sepanjang minggu pesta buku itu semata-mata ingin memiliki buku saya panas-panas. Contohnya jejaka di bawah yang berulang-alik ke pesta buku semata-mata nak tau buku saya sudah ada atau tidak di reruai. Akhirnya beliau berjaya mendapatkan Kursani di Kediaman Buku.
Untuk kekurangan yang ini, maafkan saya kerana memang saya ingin Kursani muncul di PBAKL 2018 itu namun apakan daya.
Kursani Laku Keras
Sekitar Mei dan awal Jun, Kursani yang baru sahaja keluar dari kilang cetak selepas PBAKL 2018 berakhir, terus lakukeras secara mendadak sehingga Bookcafe, anak syarikat PTS yakni gergasi penerbit buku-buku berbahasa Melayu di Malaysia mengakui Kursani amat laris ketika itu sehingga 3 kali terpaksa restock di kedai mereka.
Dalam pada itu pihak-pihak yang cemburu dan tidak sukakan Kursani laris dan menjadi rebutan masyarakat telah membuat siri provokasi kepada saya. Apa yang menjelekkan, salah seorang dari mereka ialah staff arkib cawangan Pahang yang membikin status marah-marah di media sosialnya dan memakihamun saya dek kerana buku terbaru saya ini tiba-tiba lakukeras pula! Staff arkib ini juga ingin melaporkan saya ke SKMM atas motif yang saya pun tak tau. Sepatutnya seorang yang bekerja di jabatan yang menjaga warisan dan khazanah negara perlulah bersikap matang dan cerdik, ini berlaku sebaliknya apabila dia sengaja memperbodohkan diri sendiri dan mempamerkan sisi kebudak-budakan yang berhingus meleleh dengan kecoh marah-marah buku saya lakukeras di pasaran.
Mereka juga telah mengupah 'hacker' untuk spam fanpage saya supaya dapat menutup suara saya dalam memperjuangkan sejarah Melayu dan mendidik masyarakat terutamanya orang Melayu untuk cakna dan belajar sejarah secara betul. Walhasilnya, bukan buku-buku saya merudum atau apa, buku-buku saya makin lakukeras dan dicari-cari rakyat Malaysia!
Rentaka Sekalian Bijasura no.1 berturut-turut 3 minggu sekitar Mei-Jun, Kursani Segenap Bimasakti masuk je kedai buku terus masuk carta top ten. |
Buku saya tahun lepas, Rentaka Sekalian Bijasura mendapat liputan di akhbar Berita Harian pada 25 Mei lepas malah diberi penilaian paling terbaik 5 bintang "rugi tak baca" ! |
Kursani naik ke tangga ke-3 baru-baru ini |
'Quadruple' out-of-stock. Semua buku-buku saya habis licin di Bookcafe awal Jun yang lalu |
Pengedar-pengedar kecil atas talian seperti lubukbuku.my dan al amin bookstore juga sering kehabisan stok Kursani dan laris jualannya.
Buku-buku saya juga dijual di Lazada dan Shopee. Malah mendapat sambutan ramai juga. Memandangkan pengguna portal-portal atas talian begini atau marketplace majoritinya generasi muda, maka ini satu perkembangan yang amat baik.
Rangkaian kedai buku MPH tahun ini sepatutnya ditangguhkan untuk mengambil bekalan Kursani kerana pihak penerbit saya dalam proses menyelesaikan urusan buku-buku saya yang lepas (seperti Rentaka Sekalian Bijasura yang beberapa kali jadi bestseller di carta MPH) namun anehnya ada pembaca melaporkan baru-baru ini Kursani ada penampakan di MPH Mydin Meru!
Rentaka dan Kursani habis pada awal Julai 2018 dan pihak penerbit terpaksa mencetaknya semula.
Terima kasih!
Saya sedang mempromosikan Kursani di fanpage saya. Gitar itu adalah hadiah raya dari bapa saudara saya yang rocks! |
Saya yakni Srikandi... nak ucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang kekal menyokong tulisan-tulisan dan idea saya. Hikmah dan pelajaran dalam buku-buku saya adalah buat kamu dan kamu yang bijaksana dan sini serta mahu hidup secara terhormat dan dihormati orang lain. Dengan belajar sejarah dan mempraktikkan pelajaran di dalamnya, kita dapat menjaga diri, keluarga dan masyarakat dari tipu helah dan kejahatan orang lain yang melakukan pelbagai tipudaya untuk kepentingan mereka. Selain itu, ia juga dapat memacu peradaban kita ke arah lebih gemilang kerana sejarah itu adalah tuan gurunya peradaban. Tanpa menyedari pelajaran dari sejarah, peradaban yang hendak dibina ibarat tanpa blueprint dan akan cacamarba tidak bertahan lama.
~Srikandi
"Luhur sejarahku abadi"