Friday, August 13, 2010
Alter Terahsia Bangsa Melayu V
Mari menyusun seroja
Bunga seroja
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja Rupa yang elok
Di manja jangan dimanja
Puja lah ia sekadar Oh sekadar saja
Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Lupakan saja asmara
Pada asmara...
Lupakan saja asmara
Pada asmara...
Mari menyusun seroja
Bunga seroja
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja
Rupa yang elok
Di manja jangan dimanja
Puja lah ia sekadar
Oh sekadar saja
(S. Effendy)
Selamat datang ke 'Gua Rahsia'.Tuan-tuan dan Puan-puan!...di sini terdapat beberapa peti.Peti-peti ini telah disimpan di sini sejak sekian lama,tetapi awas!ada pihak yang mahu mengambil peti ini dan menyimpannya di tempat mereka.Mari kita lihat peti-peti ini.
Peti yang bertanda 'Bangsa Gunung' telah dibuka.Anda sudah tahu apakah isinya dan mengapa bangsa misteri digelar dengan bangsa gunung atau bangsa Tanah Tinggi oleh bangsa-bangsa lain.Anda juga boleh menggelar mereka 'Highlander' aha...jika anda mahu.Lihat peti sebelah kiri,peti ini berlabelkan 'Laut'.Ini adalah petunjuk jika kita mahu mengenali karakter bangsa misteri.Bangsa yang menyebar di kepulauan sudah tentu mempunyai kemahiran kelautan yang tinggi,perbintangan dan arah angin serta ilmu membina kapal-kapal.Bangsa kelautan (maritim) juga sudah pasti berinteraksi dengan bangsa-bangsa lain dan bertukar-tukar pengetahuan dan budaya.
Ada sekumpulan peti yang terletak di atas batu leper.Peti yang pertama berlabel, 'Abraham dan Keturah'.Ini adalah nama sepasang suami isteri yang dikaitkan dengan bangsa misteri.Peti sebelahnya bertanda 'Parsi dan Sumeria'.Peti ini jika dibuka akan ditemukan helaian-helaian berlabel 'Vedic' dan 'Aryan'.Peti yang dihadapannya berlabel 'Emas',dan jika dibuka anda akan tahu mengapa Nabi Sulaiman (King Solomon) sanggup menghantar delegasi mencari emas terbaik di sini dan mengapa raja-raja Melayu Srivijaya mampu mengeluarkan syiling-syiling emas sebagai matawang.Terdapat beberapa peti yang lain,yang kita akan pergi melihatnya kelak,tetapi mari kita buka satu peti ini,yang terletak terasing sedikit di sudut pintu gua.
Peti ini mempunyai ukiran bunga melur yang indah di atasnya.Peti ini berlabel 'Wangi-wangian'.
RAHSIA DARI WANGI-WANGIAN
"Dang Nila memangku puan
Berembang buah pedada
Adakah gila bagimu tuan
Burung terbang dipipiskan lada
(Bunga Tanjung Biru -Sejarah Melayu)
Untuk membicarakan sejarah Melayu,kita tidak seharusnya mengongkong diri dengan sempadan geografi.Kita mesti berfikir secara global.Atau lebih tepat secara Alam Melayu.Atau secara 'Nusantara'.Dahulu,beratus tahun atau beribu-ribu tahun dahulu tiada apa yang dinamakan 'Malaysia' atau 'Indonesia' atau 'Brunei' atau sebagainya.Yang ada ialah Alam Melayu atau Nusantara.Perkataan 'Melayu' itu sendiri diketahui oleh bangsa-bangsa lain seperti yang terdapat dalam arkib Sanskrit dan Tamil,Parsi,China dan Eropah menunjukkan bangsa ini telah lama bertamadun dan yang penting mereka tahu bahawa budaya,bahasa dan tempat tinggal mereka adalah sama iaitu Alam Melayu yang meliputi Benua Siam (IndoChina),Semenanjung dan kepulauan Melayu merangkumi pulau-pulau Indonesia,Filipina sehingga ke Taiwan dan mencapai pulau-pulau selatan Jepun,pulau-pulau kecil di lautan Hindi hingga mencapai Madagaskar.Perkataan 'Nusantara' pula setakat ini diketahui dikesan dalam Sumpah Palapa yang diucap oleh Gajah Mada iaitu Mahapatih Majapahit (Menteri Besar) bagi kerajaan Majapahit (1334-1359)
"Sira Gajah Madapatih Amangkubhumi tan ayun amuktia palapa, sira Gajah Mada: "Lamun huwus kalah nusantara isun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seran, TaƱjung Pura, ring Haru, ring Pahang, Dompo, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana isun amukti palapa".
(Gajah Mada Mahapatih Majapahit)
Maksudnya:Beliau Gajah Mada Patih Amangkubumi tidak ingin melepaskan puasa.Beliau Gajah Mada, "Jika telah mengalahkan Nusantara, saya (baru akan) melepaskan puasa. Jika mengalahkan Gurun, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, demikianlah saya (baru akan) melepaskan puasa".
Gajah Mada adalah seorang negarawan ulung Alam Melayu ketika itu.Istilah 'Nusantara' yang disebut olehnya menunjukkan bahawa kata ini telah digunakan sejak sekian lama di seluruh kepulauan Melayu.Bangsa Malai yang mendominasi Nusantara terdiri daripada etnik-etnik Mala-Aborigine;mereka biasanya berambut kerinting,berkulit gelap,bertubuh pendek dan tinggal di pinggir-pinggir hutan dan bukit.Sebahagian besar mereka tinggal di kepulauan Melayu hingga ke Pasifik seperti Hawaii,Papua dan Easter. Kemudian etnik-etnik keJawaan;mereka ini berkulit sawo matang dan bertubuh tegap.Ada di antara mereka memiliki mata yang kecil.Mereka adalah etnik Mala yang rajin dan suka mendominasi sesuatu.Selebihnya ialah etnik Malai Polinesian iaitu etnik yang agak terbuka identiti etnik mereka.Warna kulit mereka pula bervariasi dari yang gelap,sawo matang,kuning langsat sehinggalah cerah.Mereka ini agak terbuka dengan bangsa asing yang ingin mengenali mereka dan bersikap peramah.Melayu Kedah (termasuk etnik semenanjung yang lain),Acheh,Cham,Siam,Pattani dan Bugis (sekadar menyebutkan beberapa contoh) adalah tergolong dalam kelompok ini.Mereka amat mementingkan kostum dan hias-hiasan pada tubuh mereka.Mereka juga digelar kaum Tanah Besar kerana majoriti mereka tinggal di semenanjung hingga ke Segenting Kera dan sejauh Indochina sehingga mencapai Yunnan,dan sebahagian yang lain ada yang tinggal di kepulauan seperti di Borneo dan Sulawesi.Ini adalah sekadar kategori sahaja berdasarkan cara hidup dan perubahan geografi yang merubah etnik-etnik Mala ini di The Land of The East.Hakikatnya mereka adalah dari rumpun yang sama iaitu NUSANTARA.
Bangsa Mala yang tinggal di kepulauan sudah semestinya berasal dari Tanah Besar juga,tetapi terdapat tiga kemungkinan,
1.Sama ada mereka berasal Tanah Kanaan,menuju ke Himalaya,merentasi Sungai Mekong hingga ke Yunnan seterusnya menurun ke Benua Siam (Indochina) dan belayar ke Kepulauan Melayu.Rujuk Teori Ibrahim-Keturah
2.Atau dari Tanah Kanaan,mereka menuju ke arah laut dan belayar hingga ke kepulauan Melayu.Rujuk Teori Pelayaran Raja Mus.
3.Mereka sememangnya tinggal di daratan Tanah Besar tetapi perubahan geografi menyebabkan Tanah Besar terpisah-pisah menyebabkan terjadinya pulau-pulau.Rujuk Teori Lemuria dan pencairan ais ketika berakhirnya Zaman Ais serta Teori Hanyutan Benua.
Perkataan 'Mala' adalah kata yang diambil dari satu manuskrip kuno (scriptures) yang menceritakan kehidupan,perjuangan untuk hidup dan peperangan yang terjadi di Nusantara beribu tahun dahulu.'Mala' sebenarnya bermaksud 'bunga' atau 'haruman'.'Mala' adalah asas bagi nama bunga Melati dan Melur;dua bunga yang menjadi lambang yang bertahap 'cult' dalam mistik dan kesusasteraan Melayu.Nama gadis-gadis Melayu purba kerapkali diberi nama Melati atau Melur,menunjukkan nama dua bunga ini adalah nama yang tertua dan terkenal sekali di kalangan bangsa Mala.Perkataan Mala adalah nama asli bangsa ini,ketika di sebelah Parsi-Sumeria,bangsa ini digelar Mala-Ur atau negeri Mala/kaum Mala,tidak hairanlah sarjana Tamil atau Sanskrit Purba menamakan bangsa ini sebagai Malai-Ur atau Malayur,ini kerana sudah tentu mereka mengambil nama ini dari manuskrip Sanskrit dan Avesta kerana bangsa Aryanlah yang membawa budaya Vedic dan warisan ilmu pengetahuan dan kesusasteraan ke Benua Kecil India.Perhatikan kata Mala-Ur ini berubah menjadi Melur di lidah orang Melayu.Para sarjana China Purba pula menamakan bangsa ini Mo-Lo-Yue dan kata ini berasal dari kata Ma-La-Yu.'Mala-Yu' adalah nama yang diberi oleh raja-raja Babylon dan Assyria kerana -Yu adalah suffix dalam bahasa kuno Avesta yang merujuk kepada budaya,pemikiran seterusnya kaum itu sendiri.Gadis yang bernama Mala,Melur atau Melati adalah lambang gadis suci yang penuh sopan-santun dan adat Melayu ketimuran.
Dari sukukata 'Mala',bangsa purba memberikan pelbagai panggilan dengan penambahan suffix yang berbeza.
Bunga,haruman dan wangi-wangian adalah salah satu kod rahsia bangsa misteri.Jika kita ingin mengenali bangsa ini,kita perlu tahu apakah signifikannya perlambangan bunga dan wangi-wangian kepada bangsa Melayu.Bangsa misteri ini telah sekian lama menghasilkan wangi-wangian untuk tujuan perubatan,mistik atau mengawet sesuatu.Bangsa misteri selain menggunakan bunga-bungaan,sering juga menggunakan rempah-rempah untuk mewangikan ruangan rumah atau balai.Mengapa kerajaan-kerajaan Eropah berlumba-lumba mahu menguasai Selat Melaka?Antara faktor terbesar ialah untuk menguasai perdagangan rempah.Rempah-ratus adalah bahan yang penting untuk memanaskan tubuh,sebagai ubat-ubatan dan resepi masakan.Dan perdagangan rempah sebenarnya telah dikuasai oleh pelabuhan-pelabuhan Melayu.Mengapa?Pada zaman dahulu ketika para pedagang Eropah mendapat bekalan rempah dari pedagang India dan Arab,mereka tertanya-tanya dari manakah para pedagang Arab dan India ini memperolehi bekalan rempah ini dalam jumlah yang banyak.Ini membuatkan mereka berusaha untuk mengetahui sumber segala rempah ratus ini dan berharap dapat menguasai tempat di mana rempah-rempah ini didapati.
Rempah adalah satu bahan yang penting dalam kehidupan mistik di dalam istana Firaun dan rahib-rahib Judea Kuno.Para ahli sihir Firaun adakalanya menaburkan rempah-rempah di dalam persembahan sihir mereka kerana bau rempah-rempah yang harum dan beraroma ini menimbulkan sensasi dan mengkhayalkan;membantu mereka dalam kerja-kerja sihir mereka.Para rahib Judea (Kerajaan Yahudi Kuno,selain kerajaan Samaria) kerapkali membakar kemenyan;salah satu campuran rempah dalam bentuk getah pepejal untuk melengkapkan ritual mereka.Pokok Kemenyan (Styrax benzoin Dryand) adalah pokok yang biasanya ditemui di Kepulauan Melayu.Sebab itu para Firaun secara rahsia mengimport rempah-ratus dan kemenyan dari Kepulauan Melayu.Di Kuil Hatshepshut,ada terukir kisah-kisah pelayaran delegasi Firaun ke Nusantara,dan terdapat ukiran pohon-pohon besar yang amat rendang seperti yang terdapat pada pokok Jati,Keruing atau Merapoh.Pohon-pohon besar ini juga ada yang dibawa ke Mesir untuk di tanam di sana.Kemenyan dan rempah sememangnya diketahui hanya didapati dari Nusantara.
Kemenyan dalam bahasa Inggeris ialah Benzoin Resin,dan resin bermaksud damar atau getah kemenyan itu.Perkataan 'Benzoin' (banjawin,benjamin) berasal dari bahasa Arab iaitu 'lubban jawi'.Perkataan 'jawi' adalah nama tempat itu diambil iaitu Tanah Jawi,dan ini adalah fakta bahawa para pedagang Arab sedar dari mana kemenyan berasal iaitu sebagai contoh dari Sumatra (S.Benzoin -Sumatra benzoin),Benua Siam (S. tonkinensis -Siam benzoin) dan Jawa (Javan frankincense).'Lubban' adalah nama Arab bagi wangi-wangian pepejal.Pada masa dahulu di Timur Tengah,wangi-wangian pepejal tempatan diperbuat dari campuran bunga-bungaan dan diproses menjadi pepejal yang wangi.Namun kemenyan dari 'Jawi' ini adalah 'lubban' yang terbaik dan memiliki kasta tertinggi dan kerap dijual dengan harga yang mahal kerana wangian kemenyan ini bukan berasal dari bunga-bunga tetapi getah resin (damar) asli yang sedia berbau wangi.
Rempah-ratus juga digunakan untuk upacara mengawet mayat.Mumia-mumia Firaun diawet dengan menggunakan rempah-ratus ini dan segala rempah-ratus ini terutamanya kapur barus dipercayai diimport melalui pelabuhan yang terletak di Barus,di Sumatera Utara.Kemenyan juga dikesan penggunaannya di dalam budaya Yahudi Kuno di dalam ritual-ritual mereka termasuk menyambut kelahiran bayi dan segala bekalan kemenyan ini di dapati dari Nusantara.
Sebab itu apabila apabila seorang gadis dari Nusantara telah disunting oleh seorang lelaki terhormat dari Tanah Kanaan,sumber-sumber Judeo-Sumeria menggelarkan gadis itu Keturah,atau 'kemenyan/wangi-wangian' dalam bahasa Ibrani menunjukkan nama sebenar gadis itu kemungkinan adalah 'Melur','Melati' atau 'Damar Wangi' dalam sebutan Nusantara.
Sebelum kita meneruskan topik yang semakin menarik dan misteri ini,mari kita telusuri beberapa jenis bunga yang popular dalam masyarakat Melayu.
Bunga Kemboja
Bunga Kemboja (Plumeria acuminata, famili Apocynaceae),adalah salah satu bunga purba yang dihormati bangsa Mala.Bunga ini adalah bunga yang kerapkali kita jumpa di perkuburan-perkuburan Melayu.Ini menunjukkan terdapat warisan ritual bunga-bungaan pada masa silam yang masih berbaki dalam masyarakat moden Melayu hari ini.Bunga Kemboja berwarna putih dengan pusat bunga berwarna kuning keemasan.Pokok ini sememangnya banyak ditanam di halaman candi (di Tanah Jawa) dan kawasan kubur.Kehadiran bunga Kemboja di perkuburan Melayu amatlah mengundang perasaan aneh dan misteri.Adakah bunga ini melambangkan kematian atau kehidupan selepas mati?Di Bali,Tarian Legong Keraton tidak akan lengkap tanpa bunga ini.Bunga ini selalu dipakai di telinga penari semasa upacara tarian itu berlangsung.Di Jawa pula, bunga Kemboja dilarang ditanam di halaman rumah kerana bunga ini boleh menimbulkan kesan seram seperti suasana kubur dan juga boleh mengundang roh jahat yang akan mengganggu ketenteraman penghuni rumah. Ada juga sebahagian masyarakat yang percaya bahawa mereka yang berjaya menemukan bunga Kemboja yang berkelopak genap (6 helai) akan mendapat rezeki.
Di Hawaii (nenek moyang mereka adalah dari Proto Mala), kalungan bunga Kemboja dipakai untuk menyambut tetamu.Nama kerajaan purba Melayu yang membina Angkor Wat diambil dari nama bunga ini.Sememangnya Angkor Wat asalnya adalah istana kota bangsa Mala sebelum diduduki oleh etnik Khmer dan mula menambah di sana-sini mengikut kepercayaan Buddha mereka.
Bunga Cempaka
Bunga Cempaka (Allamanda family Araceae) adalah juga salah satu bunga yang mendapat tempat pada budaya dan kesusasteraan Melayu purba.Bunga ini selalu juga digunakan di dalam seloka,gurindam dan juga prosa Melayu dahulukala.Bunga cempaka adalah bunga yang cantik.Tidak hairanlah terdapat manuskrip Melayu dinamakan Cempaka Sari dan nama kerajaan purba Melayu dahulukala juga di ambil dari nama bunga ini.Tumbuhan bunga ini mempunyai kelebihan dari segi perubatan.
Bunga cempaka kuning, khasiatnya adalah sesuai untuk wanita selepas bersalin, kencing tidak lawas dan demam selsema.Cemnpaka putih pula sesuai untuk merawat pitam,bisul atau radang tengkuk.
Bunga Kenanga
Bunga Kenanga (Canangium odoratum, famili Annonaceae) sangat sesuai ditanam di halaman rumah kerana ianya dapat menolak `black magic` seperti terkena buatan orang. Bunganya yang berbau harum digunakan untuk membuat bunga rampai atau dipakai semasa upacara adat tertentu.
Pokok kenanga merupakan pokok yang besar setinggi 38m dengan diameter batangnya 1m. Pokok kenanga yang ditanam untuk tanaman hiasan biasanya setinggi 1 hingga 2 m.
Bunga kenanga berwarna hijau kekuningan, tidak begitu menonjol dan tumbuh berkelompok yang terdiri daripada 6 hingga 10 kuntum pada satu tangkai. Kelopak bunga ini berbentuk pita yang agak terpilin sepanjang 5 - 10 cm.
Bunga Melati/Melur
Bunga Melati (Jasminum sambac, famili Oleaceae) telah dinobatkan sebagai bunga rasmi Indonesia oleh Presiden Soeharto pada 5 Julai 1990.Bunga ini merupakan simbol kepada kesucian, ketulusan dan kebersihan hati.Bunga Melati juga antara bunga yang menjadi lambang kemelayuan purba dan banayak hikayat yang menyebut nama bunga ini dan nama wanita yang dikaitkan dengan bunga ini juga adalah perkara biasa.
Melati sangat popular dalam kehidupan masyarakat Melayu, Betawi, Jawa, Sunda, Madura dan Bali kerana ianya dianggap melambangkan kesuburan, kesejahteraan dan kemakmuran.Pengantin tanpa lilitan untaian Melati pada keris yang dipakainya akan dianggap kurang sempurna pernikahannya.
Ibu-ibu yang mempunyai air susu yang kurang boleh menjadikan Melati sebagai ubatnya.Melati yang sudah digiling hendaklah disapu pada buah dadanya agar air susu yang dihasilkan bertambah banyak.
Melati dapat dibezakan kepada 2 jenis berdasarkan kepada mahkota bunganya, iaitu yang berbunga tunggal dan berkumpulan. Bunga Melati berwarna putih dan berbau harum.
Bunga Kemuning
Bunga Kemuning (Murraya paniculata famili Rutaceae) merupakan pokok yang setinggi 3 – 7 m, berbatang pendek, berdaun rimbun dan memberi manfaat sebagai tanaman pagar. Tanaman ini berbunga terus-menerus sepanjang tahun. Warna bunga ini pada peringkat awal ialah kehijau-hijauan dan setelah mekar penuh ianya bertukar menjadai putih bersih.
Daun dan bunganya jika digiling halus dan disapukan pada badan, akan membuatkan seseorang wanita lebih cantik dan berkulit kuning bersih. Kayunya yang berwarna kuning agak kecoklatan merupakan bahan yang sesuai untuk membuat sarung keris.
Bunga Seroja
Bunga Seroja (Nelumbo nucifera famili Nelumbonaceae) adalah bunga yang sering menjadi lambang dalam agama Buddha.Seroja sering terkeliru dengan bunga yang hampir sama dengannya iaitu Bunga Teratai.Bunga Seroja ditakrifkan sebagai lambang kebijaksanaan dan pencerahan.Adalah dipercayai,Bunga Seroja dibawa ke Mesir melalui ekspedisi-ekspedisi raja dan ratu Mesir ke Nusantara.Seroja sering dilihat sebagai bunga yang disucikan dan dihormati oleh agama misteri Firaun dan motif bunga ini diukir di dinding kuil selain ditanam di taman-taman diraja.Dari Mesir,bunga ini disebarkan ke Assyria,seterusnya ke Parsi,India dan China.
Bunga Teratai
Bunga Teratai (Nymphaea famili Nymphaeaceae) sering dikelirukan dengan bunga Seroja.Seroja memiliki tangkai bunga tegak dan bunganya tidak mengapung di permukaan air, sebagaimana pada teratai.Pada zaman dulu, orang memang sering mencampuradukkan antara tanaman 'genus Nelumbo' seperti seroja dengan 'genus Nymphaea' (teratai). Pada bunga jenis Nelumbo, bunga terdapat di atas permukaan air (tidak mengapung), kelopak berwarna merah (teratai berwarna putih hingga kuning), daun berbentuk lingkaran penuh dan rimpangnya biasa digunakan.Jika Seroja amat rapat dalam menerangkan pencerahan dan kebijaksanaan dalam agama Buddha,apabila umat Melayu menerima Islam,bunga Teratai menjadi ganti menerangkan falsafah yang kompleks.
Bunga Teratai menjadi perlambangan kepada ajaran Islam dan konsep ketuhanan sebagaimana kajian seorang pengkaji,Abdullah Bin Mohemed (lahir 1931) tentang konsep bunga Teratai di Alam Melayu:
Bagi tingkat ketuhanan tangkai adalah adalah lambang Zat Allah
yang kuat berpegang kepada sekuntum bunga. Zat Allah yang
dimaksudkan ialah Zat Allah yang berada pada “Tingkat al-Ahadiyah”.
Bila terjadi perdampaan di antara dua sifat Jamal dan Jalal maka lahirlah
seketul “kudup” bunga teratai, Ketika ini tangkai itu menjadi ghaib dan
wujudnya bersama kudup.
Kudup adalah melambangkan “Hakikat Muhammadiyah” yang
mula-mula lahir dalam alam hakikat, sebelum lahirnya hakikat-hakikat
segala sesuatu. Sebagaimana pada diri Hakikat Muhammdiyah terhimpun
hakikat-hakikat segala sesuatu, begitu juga pada kudup yang kuncup itu
terhimpun segala kelopak, stamen, rahim bunga, stigma dan lain-lain.
Selepas segala kelopak berkembang, segala stamen terbuka dan
segala-galanya wujud beberapa banyak, menjadi sekuntum bunga yang
berkembang. Bunga yang berkembang dari hakikat-hakikat segala sesuatu
yang terkeluar dari diri Hakikat Muhammadiyah.
Bagi lambang kejadian alam dalam tingkat kealaman, menurut
Abdullah,zat Tuhan kepada tangkai adalah sifat alam kejadian, apabila
berlakunya kejadian maka lahirlah kudup bunga teratai. Ketika itu tangkai
akan ghaib dan wujud bersama kudup. Kudup adalah melambangkan
manusia atau alam kecil yang mula kelahiran sebelum lahirnya alam besar.
Bagi tingkat kealaman ini Kudup bunga adalah sebagi lambang ‘Nur
Muhammad’. Sementara Sekuntum bunga teratai yang berkembang adalah
sebagai lambang alam besar. Setiap kelopak bunga itu adalah
melambangkan tiap-tiap peribadi makhluk.
Abdullah juga dalam kajian falsafah Teratai menyatakan bahawa bunga teratai adalah
lambang kejadian alam dan lambang bentuknya adalah suatu amalan
tradisi yang lama dalam masyarakat Melayu. Penggunaan motif atau
bunga teratai digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Menurut
beliau sejak zaman raja Ahmad bentuk bunga teratai digunakan dalam
upacara tradisi dan mempunyai makna-makna tertentu.
Bunga telah lama menjadi tradisi bangsa Melayu.Amalan menabur bunga di perkuburan bukanlah ikut-ikutan budaya orang lain malah ini adalah budaya Melayu kuno zaman-berzaman.Amalan mandi bunga juga adalah salah satu rahsia perubatan orang Melayu lama sebelum terapi bunga-bungaan ditemui oleh orang Barat.Mandi Bunga memang merupakan ritual orang Melayu tradisonal yang mempunyai unsur-unsur yang sudah bercampur-aduk antara kepercayaan Dinamisme, Hinduisme dan ‘Popular Islam’. Dinamisme ialah kepercayaan adanya ‘tenaga tak berperibadi’ dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda-benda hidup, perkataan yang diucap atau ditulis, tanda-tanda yang dirakamkan dan sebagainya.Dalam bidang antropologi, tenaga ini juga biasa disebut sebagai ‘mana’, dengan meminjam istilah rumpun suku Polynesia. Ia dikenali sebagai ‘sahala’ oleh orang Batak dan ‘kesakten’ oleh orang Jawa.
Di kalangan orang Melayu tradisional, ‘mana’ dikenali sebagai ‘semangat’ seperti yang difahami oleh mereka dalam insiden ‘lemah semangat’, ‘kus semangat’ dan sebagainya. ‘Mana’ bagi golongan tertentu mempunyai gelaran yang khusus. ‘Mana’ bagi raja-raja dikenali sebagai ‘daulat’ dan ‘tulah’. Sedangkan ‘mana’ bagi para ahli agama baik golongan pawang dan dukun pada zaman Dinamisme, sami dan pendita pada zaman Hinduisme-Buddhisme, mahupun alim-ulama’ pada zaman Islam, dipanggil sebagai ‘berkat’ dan ‘keramat’.
Salah satu ramuan Mandi Bunga ialah limau yang dianggap dapat menjauhkan segala makhluk jahat.Limau bersama-sama sirih pinang adalah merupakan bahan utama untuk pelbagai kepercayaan dan ritual orang Melayu tradisional. Sebagai contoh:
1. Air tepung tawar yang ‘asasnya’ terdiri daripada campuran air, bahan-bahan lain dan limau purut yang dihiris.
2. Limau nipis digunakan sebagai pengeras bagi pelajar silat dan perubatan tradisional. Limau purut pula diperah dan dicampurkan dengan air bagi mengubat penyakit terkena buatan orang.
3. Upacara ‘mandi-mandi’ atau ‘berlimau’ diadakan dalam pakej adat perkahwinan Melayu tradisional iaitu selepas kedua-dua pengantin bersatu. Pengantin akan berpakaian lengkap dan duduk di bawah naungan kain yang diregangkan dengan pegangan dua orang di kiri dan kanan. Air dan campuran limau, sintuk dan lain-lain ramuan akan dijiruskan daripada atas menerusi kain tersebut.
4. Di Perak, mandi tolak bala dilakukan dengan menggunakan hirisan buah limau nipis yang digosok-gosokkan ke badan seperti mana sabun. Selepas itu, barulah sambungan kepada perkara-perkara yang dilakukan dalam ritual tersebut akan dilanjutkan.
5. Dalam upacara berdoa’ dan memanggil semangat padi di Sungai Dacing, Lenggeng, Negeri Sembilan; pawang akan ‘menawarkan’ limau-limau yang disediakan dengan cara menepung tawar, menjampi dan meludahnya sebanyak tiga kali. Selepas itu, limau akan dipotong-potong dan dibawa ke sawah untuk ditempatkan di tapak semaian padi, agar padi subur dan selamat dari bencana.
6. Wujud juga pantang-larang berkenaan limau dalam kehidupan orang Melayu tradisional. Salah satu daripadanya ialah larangan membawa limau purut jika mandi di sungai, nanti dibaham buaya. Kononnya buaya amat marah dan mungkin mengganas kerana buah limau itu menyerupai bonjol di atas kepalanya dan berhubung kait pula dengan asal usul kejadiannya.
Daun, bunga dan limau dengan sifat-sifat tertentu (misalnya daun bertemu urat dengan warna tertentu) dan bilangan tertentu (misalnya tujuh jenis bunga dipetik ketika pagi masih berembun), ditambah dengan mantera yang dibaca oleh bomoh akan mendatangkan ‘mana’ yang akan membawa manfaat yang diinginkan. Oleh yang demikian, unsur kepercayaan Dinamisme dalam amalan Mandi Bunga dapat dikesan apabila ramuan mandi yang telah mempunyai ‘mana’ tersendiri disatukan bagi membentuk gabungan ‘mana’ yang baru pula. Hasil daripada kewujudan ‘mana’ baru yang ‘lebih bertenaga’ ini, maka dipercayai kononnya ‘mana’ pada orang yang melakukan Mandi Bunga juga akan menjadi lebih kuat, berupaya menghalau segala sial dan sihir, serta mampu menarik lebih banyak tuah dan keuntungan.
Bau-bauan yang wangi dalam amalan Mandi Bunga ini juga dipersembahkan kononnya sebagai bahan pengorbanan kepada makhluk-makhluk halus yang akan membantu mengambil hati mereka. Maka apabila perbuatan ini dilakukan, makhluk halus yang jahat dan membawa sial akan meninggalkan diri pihak yang melaksanakan amalan Mandi Bunga itu. Makhluk halus yang baik pula dipercayai akan menggantikan tempat yang dikosongkan oleh makhluk halus yang jahat tadi dan sekaligus membawa manfaat kepada pihak tersebut.
Orang Melayu memang rapat dengan bunga dan tahu rahsia dan kekuatan setiap bunga-bungaan tersebut.Jika kita lihat halaman rumah orang Melayu di kampung-kampung,kita akan dapati pelbagai jenis bunga biasanya ditanam oleh orang-orang Melayu di halaman rumah.Gadis-gadis Melayu secara amnya memiliki naluri untuk menanam bunga di halaman rumah selepas berumahtangga walaupun tinggal di perumahan yang sesak atau di flet-flet.Setiap petang gadis-gadis Melayu ini tidak lupa untuk menyiram bunga-bungaan mereka ini yang ditanam di pasu-pasu mahupun ada yang tergantung.
Lambang bunga juga dijadikan simbol kerajaan Melayu Purba,malah menjadi motif bagi nisan raja-raja besar mereka.Bunga Teratai dan Seroja selalu dipilih untuk menghiasi bahagian atas nisan-nisan raja-raja Melayu.
Pada pintu gerbang kota juga lambang bunga dipahat dan terdapat juga lambang bunga di meriam-meriam Melayu dahulukala.Kegemaran bangsa Melayu menjadikan bunga sebagai lambang kerajaan mereka diwarisi oleh Indonesia yang menjadikan Bunga Melati sebagai bunga kebangsaan manakala Malaysia memilih Bunga Raya sebagai bunga rasmi negara.
Kemenyan adalah lambang ritual masyarakat Melayu.Dunia kedukunan Melayu tidak sah jika tidak menyertakankan wangi-wangian ini.Selain dijadikan alat perbomohan,kemenyan digunakan di istana-istana raja sebagai 'perfume' dan ia selalu dibakar di dalam dupa-dupa berkerawang yang indah buatannya.Jika colok menjadi lambang ritual dan keagamaan bangsa Cina,kemenyan adalah lambang ritual dan dunia mistik Melayu.Amalan membakar perasap dalam amalan Hindu sebenarnya berasal dari Nusantara kerana pedagang India mendapatkan bekalan kemenyan terbaik dari Nusantara.Ini tidak menghairankan jika pembaca memahami hubungan terahsia orang Melayu dengan budaya Vedic,Brahmin dan agama Ibrahim yang di bawa ke Benua India beribu tahun dahulu.Bangsa Melayu yang diiktiraf sebagai berkasta Brahmin dan Ksatria dalam agama Hindu akan dibincangkan dalam siri seterusnya.
Orang Melayu adalah bangsa bunga dan wangi-wangian,dan ini adalah karakter misteri yang sukar ditelah oleh orang lain kecuali Melayu sendiri.Setiap orang Melayu yang memahami rahsia bangsanya akan tahu rahsia ini.Hanya orang Melayu mengenal rahsia Melayu.Gadis-gadis Orang Asli yang gemar menyelitkan bunga dicelah telinga mereka mengingatkan rahsia yang terpendam dalam sejarah bangsa Mala.Di dalam dunia mistik Melayu,bunga mendapat tempat yang teristimewa.Sebab itu di dalam pengkisahan Tun Mamat di Gunung Ledang,penulisnya memilih karakter-karakter makhluk bunga untuk menerangkan suasana mistik yang menyelubungi Tun Mamat ketika di Gunung Ledang.Berada di taman bunga yang misteri di tengah hutan rimba,akan menimbulkan suasana seram dan suara-suara delusi di fikiran Tun Mamat:
Maka Tun Mamad pun naiklah dengan dua orang yang pantas berjalan sertanya, naik ke Gunung Ledang itu. Setelah datanglah had buluh perindu, maka Tun Mamad dengan dua orang yang naik itu, seperti akan terbanglah rasanya, daripada sangat amat keras angin bertiup; maka awan pun seperti dapat dicapai lakunya, dan bunyi buluh perindu itu terlalu merdu bunyinya, burung terbang dengan suatu taman, terlalu indah perbuatannya. Maka Tun Mamad pun masuk ke dalam taman itu, maka dilihatnya serba bunga yang ada di dalamnya pel¬bagai jenis, dan buah-buahan yang ada di dalam dunia ini ada¬lah didalam taman itu, sekaliannya lengkap dengan jambang¬annya, pelbagai rupa jambangannya
segala mergastua dan segala kayu-kayuan di dalam taman itu melihat Tun Mamad datang, maka segala burung itu pun berbunyi, pelbagai bunyinya; ada yang seperti orang bersyair, ada yang seperti orang berbait, ada yang seperti orang berseloka, ada yang seperti orang bergurindam; maka limau manggar pun bersorak, anggerik pun mengilai, delima pun tersenyum; maka bunga air mawar pun berpantun serta berseloka, katanya:
"Asa-asaan gigi si Mambang, hendak makan ikan;
Dalam telaga lagi bertelur, sisiknya gilang gemilang."
Maka disahut oleh bunga tanjung, katanya:
"Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada."
Maka dijawab oleh bunga telipuk:
"Kuning Ledang bagai dikarang,
Riang-riang disambar wakab;
Hairan memandang dunia sekarang,
Bayang-bayang hendak ditangkap."
Maka Tun Mamad 'pun hairanlah mendengar reneana taman itu, seraya berjalan ke Terigah taman itu. Maka Tun Mamad pun bertemu dengan sebuah balai, semua perkakasnya tulang dan atapnya rambut; di atas balai itu ada seorang perempuan tua, baik rupanya, menyampai kain pendukung; empat orang perempuan muda-muda mengadap dia. Maka ia bertanya pada Tun Mamad, katanya, "Orang mana kamu ini, dan hendak ke mana kamu?" Maka kata Tun Mamad, "Kami ini orang Melaka, nama hamba Tun Mamad, dititahkan oleh Sultan Mahmud Syah meminang Puteri Gunung Ledang, Lak¬samana dan Sang Setia ada di bawah gunung ini, tiada boleh naik, akan hamba disuruhnya; dan tuan hamba, siapa nama tuan hamba?" Maka sahut perempuan itu, "Nama hamba Dang Raya Rani, hambalah pengetua Puteri Gunung Ledang; nantilah hamba di sini, biar hamba persembahkan segala kata tuan hamba itu pada tuan puteri."
(Sejarah Melayu)
Jika kita ingin memahami rahsia bangsa Melayu dan segala alternya,'BUNGA' dan 'WANGI-WANGIAN' adalah katakunci (password) untuk membuka peti-peti yang lain.Sememangnya bangsa Mala Proto di Nusantara dan Mala Deutro yang menetap di sepanjang laluan ke The Land of The East a.k.a The Promised Land di mana mereka tidak berniat untuk meneruskan perjalanan ke tanah nenek moyang mereka, tetap berhubungan sama ada melalui budaya atau perdagangan.
Pada tahun 600 Sebelum Masehi,seorang raja Babylon kelihatan sedang duduk termenung memikirkan satu masalah besar.Permaisuri barunya sudah 2 hari di dalam keadaan murung dan bersedih.Adakalanya tidak mahu makan dan minum.Biarpun dipujuk berkali-kali,namun permaisurinya itu yang bernama Amuhia,masih diam dan bersikap dingin.
Akhirnya setelah disiasat oleh dayang-dayang diraja,barulah Bukhtannasar (Nebuchadnezzar II) mengetahui sebab isteri barunya bersikap dingin.Isterinya itu merindui kampung halamannya yang jauh.Maka selepas itu raja Babylon Bukhtannasar pun memerintahkan ekspedisi-ekspedisi ke Timur untuk mengambil pohon-pohon besar dan benih-benih bunga terpilih untuk ditanam di taman agung yang dirancang olehnya.
Siapakah gadis misteri bernama Amuhia ini?Mengapa raja agung Babylon sanggup membina Taman Tergantung Babylon semata-mata untuk menanam bunga-bunga kesayangan gadis misteri ini?
---------------------------------
Alter Terahsia Bangsa Melayu VI
-Rahsia bangsa Bunga dan Wangian
-Ekspedisi para Firaun
-Bangsa mistik bunga-bungaan
-Apa yang dipelajari oleh para Firaun dari mistik bangsa bunga?
-Kemenyan,Keturah dan Qathura
-Teori Ibnu Athir
-Gadis Suci Wangi-wangian
-Seroja dan Kemboja
-Emperor Cambyses dan Iran Kuno
-Ke manakah saudara-saudara Mala yang lain?
-Scythia dan Madayu
-Puteri Bunga dari Timur Jauh
-Ramayana dan Mahabharata
-Peperangan di antara raja-raja Babilon dan Mala
-Budaya Vedic di Benua Kecil
-Kerajaan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman
-Negarakota-negarakota Bangsa Mala
-Empayar-empayar Melayu di The Land of Gods
-Warisan dari Emperor agung
-Brahman dan Saraswathy
-Petunjuk ke-7 dan ke-13 dari bunga dan wangi-wangian
-Wasiat Terakhir Abraham
-Pencarian Tanah Wangi-wangian
-The Guardian of The Promised Land
-Amuhia,puteri Madayu atau Malayu?
-Sekuntum bunga buat Emperor purba di Babylon
-Cinta Gadis Misteri
Peti rahsia semakin menyebarkan harum-haruman misteri!Nantikan di MistisFiles!!
Subhaanallaah, mengenal silam membina masa depan. Alangkah moleknya jika boleh kita menjenamaankan-semula BANGSA MELAYU ini.
ReplyDeleteHairan kenapa sejak sekian lama saya suka benar dengan nama Melur. Terasa ada kelembutan & kekuatan di dalamnya. Baru ptg td menyiram bunga di balkoni apartment. Terkesan pula dgn artikel ini:). Terima kasih kanda Serikandi.
ReplyDeleteLubban Jawi..patutlah maksud nama Lubna ialah nama sepohon pokok yg mengeluarkan getah yg harum...
ReplyDeletekenapa bangsa kita tidak mengenal kejahatan yahudi dan nasrani? Apakah buta sejarah, tidakkah pemimpin kita memperlajari dari kepimpinan rasulullah saw bagaimana nabi melayani mereka di madinah lagi. Kita mungkin tidak lupa kerana kerana hanya kita tidak sezaman dengan rasul dan tidak merasa bagaimana kejamnya mereka. Kenapa yahudi dan nasrani masih memburu bangsa malai. Boleh tuan kaji apakah yahudi dan nasrani mahukan? Bangsa kita perlu mengaji apakah 'mission" dan dari jawapan itu kita perlu menyiapkan silat malai. hem?
ReplyDeleteNUSANTARA= Nusa diantara Air.
ReplyDelete