Monday, April 3, 2017

Buku Baru Akan Terbit : Rentaka Sekalian Bijasura





Salam,

Akhirnya buku terbaru saya hampir keluar menemui para peminat sejarah terutamanya sejarah Melayu. Kini semasa artikel ini ditulis, ia telah memasuki fasa akhir semakan dan menanti untuk dicetak.

Rentaka Sekalian Bijasura, begitulah namanya adalah kumpulan tulisan-tulisan saya tentang sejarah Melayu yang berkait dengan sejarah dunia. Selalu kita melayan sejarah Melayu seperti ia terperuk di dalam tempurung sendiri namun melalui pendekatan saya, kini kita boleh membaca sejarah Melayu bersama-sama sejarah dunia.

Rentaka ialah sejenis meriam mudah alih atau meriam kecil yang terkenal di Nusantara sebelum diceduk konsepnya oleh pihak Belanda dan Sepanyol. Bijasura pula adalah semacam jawatan khas bagi hulubalang istana gaya Kesultanan Melaka yang bertugas sebagai ketua pengiring diraja, tugas-tugas khas (seakan-akan komando atau tentera elit) dan ketua intelijen.

Rentaka Sekalian Bijasura membawa erti rentaka terbaik yang menjadi senjata para bijasura yang semestinya adalah dari lelaki-lelaki terpilih yang bijak dan gagah berani. Senjata yang terbaik mestilah dikurniakan kepada bijasura yang merupakan kedudukan yang berprestij di istana.

Ini video teaser bagi buku Rentaka Sekalian Bijasura.





Rentaka Sekalian Bijasura adalah buku ketiga Srikandi bagi karya sendiri dan keenam keseluruhannya. Konsep buku ini adalah sekitar sikap dan pemikiran sejarah pasca-merdeka. Pemikiran pasca-merdeka ni bahasa mudahnya ialah pemikiran sejarah yang matang, tak dikongkong tapi ia bertujuan jelas untuk memanfaatkan masyarakat yang memiliki sejarah itu.

Buku ini ada satu makalah dalam bidang arkeologi dan dua kertaskerja akademik dalam bidang genetik. Mukadimah oleh ahli-ahli akademik dan para pelajar sejarah. Ia terdiri daripada tulisan-tulisan berkaitan sejarah Melayu dan hubungkaitnya dengan sejarah dunia. Ada segmen pemikiran sejarah pasca-merdeka, manuskrip Melayu, isu-isu di tapak arkeologi di Lembah Lenggong dan Sungai Batu serta perbincangan secara saintifik asal-usul orang Melayu sebagai salah satu dari rumpun Malayo-Polinesia dan Austronesia bersumberkan kajian ahli akademik dalam dan luarnegara.

Walaupun begitu, sebab sejarah ni universal maka pelajaran dari buku ini boleh dicerna oleh sesiapa sahaja tidak kira dia siapa dan apa warna kulit dia.

Buku ini lebih garang jika dibanding dengan sebelumnya. Sesuai dengan namanya, ia penuh dengan kata-kata seruan menaikkan semangat yang saya gelar sebagai "The Battlecry". Sememangnya kita selamanya berada dalam 'peperangan' dan tidak sepatutnya kita mendidik masyarakat supaya merasa bangsat. Sejarah semestinya mendidik kita menjadi berani dan kuat.

Apa pun nantikan kemunculannya nanti di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 28 April 2017 ini.


~Srikandi