Saturday, January 30, 2016
Ulasan Buku " Tanah Baru Naga Selatan "
Salam semua,
Pada Disember yang lepas, saya telah menerima satu bungkusan yang berisi buku bertajuk "Tanah Baru Naga Selatan" (seperti dalam gambar). Buku ini adalah tulisan Mohd H. Roslan yang bertugas sebagai Pembantu Arkib di Arkib Negara Malaysia Cawangan Pahang.
Buku ini diterbitkan oleh Geroda Merah Resources yang beribupejabat di Kuantan, Pahang. Melihat dari rupabentuk fizikal buku ini, mengingatkan saya tentang buku-buku sejarah zaman tawarikh emak saudara saya tahun 80-an dahulu. Dengan rekaletak, gaya tulisan dan persembahannya amat oldskool. Tersenyum saya memerhatikan buku ini. Namun bukankah di sana ada pepatah, "Don't judge a blog by its followers" ...emm...jadi mari kita lihat apa di dalamnya.
Gambaran awal kepada konsep keseluruhan karya ini adalah mengupas tentang sejarah masyarakat Cina Seberang Laut (CSL) terutama yang berkaitan dengan mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu ketika kekacauan politik dan perang sekitar abad ke-19 dan awal abad ke-20. Namun di awal tulisan ada diceritakan juga secara ringkas tentang sejarah asal-usul orang Cina atau orang Han dan sejarah dinasti serta peranan orang Cina pada masa dahulu dalam hubungan mereka dengan kerajaan-kerajaan di Nusantara terutama dengan Srivijaya dan Kesultanan Melaka.
Dalam bab Pengenalan, diceritakan secara sepintas lalu tentang sejarah orang Cina dan sekaligus menggambarkan halatuju buku ini. Saya cuma tertarik untuk mengupas sedikit topik 3 jenis orang Cina di Tanah Melayu yang dikelaskan oleh penulis seperti yang berikut:
Kumpulan A: Kumpulan orang Cina yang masih menganggap diri mereka terikat dengan Tanah Besar China. Mereka cuba untuk mengikuti perkembangan, politik serta sosio-budaya yang berlaku di China. Kadangkala sikap ini dicurahkan di tempat tinggal mereka yang baru dengan memaksakan ideologi atau idea politik di kalangan masyarakat pribumi.
Kumpulan B: Kumpulan orang Cina yang bersikap materialistik, keras kepala, memencilkan diri atau tidak mahu bergaul dengan kaum-kaum lain serta fokus kepada diri dan usaha-usaha mereka mencari rezeki di sini. Mereka ini selalunya lebih suka berdiam diri dari mencampuri urusan politik, namun atas usaha mencari rezeki, mereka berusaha memanfaatkan peluang-peluang walaupun terpaksa bekerja dengan orang Melayu dan bangsa-bangsa lain.
Kumpulan C: Kumpulan orang Cina yang mana identitinya sederhana di antara kesetiaan dan minat kepada kehidupan sosial di tanah tempat mereka hidup dan mencari rezeki (yang mana jauh dari tanah neenk moyang mereka yakni China). Mereka ini termasuklah golongan Baba & Nyonya dan kaum Peranakan yang berasal dari Negeri-negeri Selat. Orang Cina yang memiliki rasa nasionalis kepada tempat tinggalnya juga termasuk dalam kelompok ini di mana kadangkala mereka lebih memahami masalah kaum pribumi dan bahaya yang bakal menimpa mereka lebih dari kaum pribumi itu sendiri dan seringkali bertindak membela kaum pribumi itu.
Bab Asal-usul menjelaskan tentang beberapa perkara tentang sejarah awal orang Cina termasuk asal-usul gelaran 'Tionghua' atau 'Tiongkok' (lebih popular di negara seberang) yang berasal dari dialek Hokkien yang bermaksud 'Zhongua' dalam bahasa Mandarin. Ia bermaksud 'negara tengah' atau 'negara pusat' yakni kepercayaan seawal zaman Dinasti Zhou dahulu bahawa Negeri China adalah pusat peradaban manusia.
Dijelaskan juga topik orang Manchu, Han dan negeri-negeri dan penduduk wilayah selatan atau 'Yueh'.
Bab Pelayaran, Perdagangan & Penempatan Awal mengupas tentang peranan orang Cina dalam perdagangan maritim dan hubungan mereka dengan kerajaan-kerajaan seperti Srivijaya dan Kesultanan Melaka. Saya cuma ingin mengulas tentang rujukan dari Ma Huan tentang Melaka yang dikatakan membayar 48 auns emas kepada Siam sebagai ufti. Sebenarnya ketika itu (1409) apa yang dikatakan sebagai 'Siam' bukanlah kerajaan orang Thai seperti Sukhotai atau Ayuthaya tetapi Nagara Sri Dharmaraja di mana mandala atau pengaruhnya mencapai 12 negarakota utama. Di dalam Riwayat Sri Dharmaraja ada menyatakan semua wilayahnya perlu membayar cukai 'emas dan perak' untuk 'disimpan di dalam simpanan kerajaan'.
Ayutthaya ketika ini di bawah raja bernama Inderaraja (Intha Racha I) dan suasana politik ketika itu agak berkecamuk dan tidak stabil dengan perebutan takhta sesama keluarga bangsawan dan tiada rekod dari Thailand menyatakan pada ketika itu Ayutthaya sudah memiliki pengaruhnya sejauh Melaka. Sekalipun abad ke-19, kerajaan Chakri masih berusaha bermati-matian untuk memiliki Kedah secara mutlak namun dilepaskan atas kebijakan diplomasi bangsawan Kedah dan tekanan mainan politik dari Inggeris. Patani dan Singgora masing-masing pun hanya jatuh ke tangan Chakri pada abad ke-18 setelah berperang dalam beberapa siri pertempuran.
Selainnya di dalam bab ini adalah sejarah hubungan dengan Srivijaya dan saya kira penulis mengambil jalan selamat dalam mengungkap tentang Srivijaya. Ini tidak menghairankan kerana semua rujukan tentang Srivijaya memang mudah didapati kini dan direkod oleh pelbagai bangsa di dunia.
Saya ingin mengulas tentang perkataan 'Saba' atau 'Zaba' yang disentuh dalam buku ini merujuk kepada kerajaan Zabag. Sebenarnya di dalam peta Claudius Ptolemy, terdapat dua nama berkaitan 'Saba' atau 'Zaba' di petanya. 'Zaba' diletakkan di selatan Vietnam pada hari ini,tepatnya di kawasan Khmer Krom. 'Sabana' terletak di selatan semenanjung. Pakar linguistik dalam projek PAN (Proto-Austronesia) bersepakat bahawa perkataan Jawa-Hawa-Sava-Saba-Zaba adalah serumpun dan memiliki makna yang sama, yakni kawasan berlumpur untuk pengairan tanaman atau ringkasnya sawah bendang.
Bab Hubungan Cina-Jepun mengungkap perit getir hubungan antara orang Cina dan orang Jepun terutama ketika abad ke-19 dan semasa Perang Dunia Ke-2. Bab ini bagi saya yang sudah tahu isi kandungannya agak tidak menarik perhatian sementelah isinya bagaikan menyalin semula apa yang terkandung dalam buku-buku teks atau sejarah mengenai situasi di China ketika perang pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Sampai di sini baru saya perasan akan sesuatu mengenai buku ini; ia terlalu tepu dengan notakaki dan rujukan sehingga setiap perenggan atau mukasurat dipenuhi rujukan seolah-olah semuanya disalin dari buku-buku tanpa ada ulasan atau pandangan sendiri dari penulis.
Sukar untuk membezakan yang mana satu hasil pandangan segar dari penulis sementelah semua ayat-ayat di dalamnya sepertinya disalin dari buku-buku yang dirujuknya. Namun kita teruskan membaca buku ini kerana di akhirnya mungkin ada ulasan jika tidak pun sepatah dua kata dari penulis sebagai penggulungan atau kesimpulan.
Di akhir bab, saya tertarik dengan pernyataan bahawa selepas era pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, orang-orang Cina 'menaruh dendam' kepada orang Melayu kerana merasakan mereka dikhianati padahal orang Cina sendiri yang bersikap seolah-olah menjauhkan diri dari 'kewarganegaraan' dan semangat 'nasionalisme' di mana ia berhijrah kini. Bagi saya, ketika pemerintahan Jepun, orang Melayu juga mengalami tempoh kehidupan yang tidak selesa dan menyakitkan. Apa yang orang Cina ini fikirkan adalah masalah dia dengan Jepun dan menganggap orang Melayu mesti menentang Jepun secara terang-terangan dan revolusi bagi membuktikan mereka bukan menyokong Jepun, musuh ketat tradisi mereka.
Ini adalah masalah jika dibiarkan ramai imigran di tanahair kita. Mereka yang bergaduh sesama sendiri, mereka yang bawa masalah kepada kita. Disebabkan Ghee Hin dan Hai San bergaduh, Inggeris pulak dapat masuk campurtangan dalam urusan negeri Perak. Hari ini pun sama, media-media mereka gemar memprovokasi dan menyibuk hal-ehwal orang Melayu dan agama Islam. Jangan sampai keributan yang mereka kecohkan, Kuasa-kuasa Barat pulak dapat jarum untuk cucuk negara kita supaya dapat dijajah secara tidak langsung nanti.
Bab Komunis v Kaomintang pula menghuraikan detik-detik kejatuhan Dinasti Qing sehingga membawa kepada penubuhan republik dan gerakan ideologi di China. Perkataan antara yang terpenting ialah Tung Meng Hui yang diasaskan oleh Dr. Sun Yat Sen.
Seterusnya banyak diceritakan tentang sejarah Kaomintang. Namun apabila tiba bab Komunis, amat sedikit pula diceritakan tentang bagaimana atau siapa tokoh di sebalik penubuhan Komunis di China. Malah hanya disentuh tentang kewujudan Parti Komunis China (PKC) pada tahun 1921 dan tiba-tiba terus kepada tindakan Dr Sun Yat Sen bekerjasama dengan PKC bagi mencapai objektifnya.
Boleh dikatakan bab ini lebih merujuk kepada Kaomintang sebagai watak utama manakala yang lain cumalah pandangan kedua atau ketiga yang muncul dalam kisah hidup Kaomintang.
Akhirnya dihuraikan tentang sejarah Parti Komunis Malaya. Gaya persembahan yang agak biasa seperti yang boleh kita baca di dalam buku-buku teks sejarah.
Cuma saya ingin tandakan di sini; pingat OBE (Order of British Empire) sebagaimana yang disentuh dalam buku ini telah dikurniakan pihak British kepada Chin Peng dan sehingga ke hari ini tidak ditarik balik walaupun kononnya PKM dicatat sebagai pengganas oleh British. Kita kena faham bahawa PKM sebenarnya dibiayai British sebagai alat mereka menentang Jepun. Bagi saya perkara ini tidaklah perlu dibangga-banggakan sangat perjuangan PKM oleh segelintir anak muda berfahaman so-called 'sosialis' pada hari ini sebab Chin Peng juga pandai bersembunyi di celah ketiak British sehingga mendapat pingat!
Bab Cina Seberang Laut (CSL) mengupas sebahagian inti kepada halatuju buku ini yakni membicarakan perihal harapan dan impian CSL ketika berhijrah ke Tanah Melayu khasnya. Diceritakan serba sedikit tentang sejarah CSL, masalah-masalah yang dihadapi mereka serta keputusan yang mereka ambil dalam menghadapi kesulitan ketika di seberang laut, jauh dari tanahair nenek moyang mereka.
Kemudian dihuraikan satu-persatu suku-suku CSL yang terlibat iaitu 4 suku terbesar orang Cina di Tanah Melayu iaitu:
1) Hokkien
2) Hakka
3) Teochew
4) Hainan (Hailam)
Selain itu ada disentuh orang Canton atau Kantonis yang merupakan majoriti penduduk Hong Kong pada hari ini.
Antara yang menarik ialah kupasan tentang peranan orang Hokkien dalam perang dan kekacauan di Perak dan Kedah, selain peranan mereka dalam hal-ehwal ekonomi. Ini menjelaskan lagi bahawa orang Cina selalunya bersikap 'menangguk di air yang keruh'.
Bab Perilaku dan Pendidikan saya fikir adalah ulasan atau penggulungan hasil dari buah fikiran atau pandangan penulis tentang topik yang dikupas di dalam buku ini. Orang Cina dalam satu perenggan digambarkan sama seperti orang Yahudi yang menguasai perniagaan dan ekonomi dan 'menangguk di air yang keruh' di dalam urusan-urusan mereka. Vajiravudh (Rama VI) ada menyatakan bahawa orang Cina ialah Yahudi Timur dalam satu pamplet yang ditulis pada tahun 1914.
Dinyatakan juga, sebagai kutipan serta kesimpulan menarik dari saya, bahawa orang Cina sebenarnya dibantu oleh pihak British atau sebenarnya diberi bantuan dan segala subsidi untuk maju dalam perniagaan sementelah para pegawai British majoritinya masih berpegang kepada mitos bahawa orang Melayu adalah pemalas, walhal menurut R.O Winstedt, apabila ada orang Melayu ingin berniaga, maka dia akan dihalau oleh orang Cina dan India.
Syed Hussein al-Attas memberikan jawapan yang padu bila ditanyakan isu orang Melayu pemalas. Beliau menyatakan seperti yang dipetik dari buku ini bahawa, sekiranya orang Melayu itu pemalas, siapakah yang menanam padi dan menghasilkan beras sewaktu kaum-kaum lain mula masuk ke Tanah Melayu dan siapakah yang menjadi pekerja kontrak semasa proses pembangunan Tanah Melayu selepas perang? Jika orang Melayu pemalas, siapakah yang melombong dan menghasilkan emas sebelum orang Barat dan imigran masuk ke sini?
Dalam bab Penutup penulis menyatakan bahawa sejarah kekayaan orang Cina pada hari ini adalah dibina pada masa-masa dahulu ketika kemasukan mereka ke Tanah Melayu, yang mana ketika itu orang Melayu tidak menghiraukan sangat akan kekayaan yang ada di bumi mereka. Orang Melayu sebagaimana pada hari ini lebih suka bersikap ala kadar dan serba cukup sahaja padahal ketika itu orang Inggeris senantiasa memikirkan untuk memerah hasil bumi mereka untuk keperluan industri sejak era Revolusi Perindustrian lagi di Eropah dan seluruh dunia.
Ini menyebabkan orang Melayu ketinggalan dari segi ekonomi dan ditambah pula dengan dasar Pecah & Perintah, pihak penjajah mencipta sistem yang menyusahkan lagi orang Melayu terlibat secara mudah dalam rangkaian perniagaan dan perdagangan yang ditaja oleh British, yang mana semua peluang itu diberi kepada orang-orang Cina yang dirasakan layak dan boleh dipercayai.
Orang Melayu juga disaran untuk menganalisis sejarah CSL dan pro dan kontra di dalamnya bagi menghadapi kemungkinan akan datang disamping memperbaiki hubungan dan situasi sesama kaum di negara kita.
Pihak yang berkuasa juga perlu memikirkan sistem bagaimana untuk menyelesaikan pertembungan antara kaum yang mana masih tidak bersatu secara menyeluruh. Saya hanya memikirkan satu benda; iaitu sekolah vernakular wajib keras dihapuskan kerana perpaduan mesti dipupuk semenjak kecil lagi. Integrasi nasional seperti yang dimomokkan hendaklah dihentikan dengan menyatukan pendidikan sejak diawal lagi. Semua kaum tetap bersatu dengan cara dipisah-pisahkan anak-anak mereka sejak dari kecil adalah mitos yang berani difatwakan oleh kerajaan sebagai formula perpaduan aneh di negara kita.
Jika tidak ditangani sebaik mungkin terutama hubungan orang Melayu dan orang Cina, maka orang Melayu akan tetap berpegang kepada sikap 'Ketuanan Melayu' manakala orang Cina akan cenderung kepada anggapan tanah ini adalah 'Tanah Baru Naga Selatan', istilah di dalam buku ini menggambarkan cita-cita mereka untuk menguasai tanahair orang-orang Melayu ini.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, buku ini memang bagus dalam menceritakan topik yang berada di bawah radarnya. Melalui buku ini kita sepatutnya akan faham di akhir pembacaan tentang sejarah orang Cina dan juga CSL rata-rata yang memasuki negara ini pada abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Namun ada beberapa kritikan, dengan harapan ada pembaikan pada masa akan datang.
Persembahan buku ini penuh dengan fakta-fakta dan rujukan, bagi saya tiada masalah dengan para pelajar dan ahli akademik untuk 'enjoy'. Namun gaya persembahan begini akan membosankan khalayak ramai dan kemungkinan besar akan terus disimpan di rak-rak buku di arkib dan perpustakaan (jika diterima).
Terlalu banyak notakaki dan rujukan membuatkan buku ini seperti buku folio tugasan sejarah para pelajar di sekolah-sekolah, bukan menyatakan isi kandungannya namun gaya rujukan yang terlampau sesak itu. Lebih baik penulis mengulas sendiri setiap rujukannya itu, baru nampak kredibiliti dalam setiap perenggan. Ingat, banyak rujukan bukanlah kayuukur kredibiliti tetapi pandangan dan buah fikiran yang asli itulah yang ingin audien membacanya. Jika buku akademik biasa, jumlah rujukan yang berlambak di dalam buku ini boleh menghasilkan buku setebal beratus-ratus mukasurat atau 2-3 jilid. Namun dengan rujukan sebanyak ini dan hampir setiap peranggan ada notakakinya, hanya menghasilkan buku setebal 200 mukasurat (termasuk mukasurat 'bibliografi'). Ini tidak seimbang dan nampak sangat ia kekurangan buah pandangan yang segar dan asli dari penulis itu sendiri.
Satu perkara yang annoying adalah KANDUNGAN buku ini yang hampir tidak berfungsi kerana rujukan mukasuratnya yang 'lari', atau dengan kata lain tunggang-langgang atau tidak tally.
Menambah tentang kualiti persembahan yang oldskool dan rekaletak yang berada di zaman 'tawarikh' suka juga ditambah dengan kualiti buku yang oldskool dengan kulit buku yang cepat menggulung dan terlipat. Buku sejarah perlu kulit buku yang keras dan berkualiti, jika tidak, buku ini akan cepat menjadi sejarah sebelum sempat orang sedar akan kewujudannya.
Walau apapun, oleh kerana jumlah mukasuratnya dan senarai rujukannya, ia menjadi bacaan yang sesuai dan optimum untuk mereka yang mahukan bacaan sejarah kaum Cina secara ringkas dan tidak berjela-jela. Anda boleh membacanya secara santai walaupun sedang berkelah di tepi pantai sambil memakan biskut!
Untuk mendapatkan buku ini, anda bolehlah ke: https://ms-my.facebook.com/KitabSejarahMalaya
dan boleh bertanyakan tentang buku ini kepada pengurus laman fanpage itu.
Isi yang padu, sejarah kaum Cina yang banyak rahsia yang belum dirungkai dan maklumat yang padat dengan rujukan, inilah Tanah Baru Naga Selatan. Jom kita sokong buku-buku sejarah seperti ini!
~Srikandi