Wednesday, December 28, 2011

"Sophie Jan Rothsmarck"





Catatan Srikandi XI






 "Sophie Jan Rothsmarck"






"Saya merasa hairan dengan bangsa kamu,The Malays...," Sophie Jan Rothsmarck,gadis Jerman kelahiran North Rhine-Westphalia itu berkata kepada saya.

Saya memandang ke arahnya sambil memuncungkan mulut dan mengangkat kening."Apa yang kamu nak hairankan?"

Sophie tersenyum kecil ke arah saya.Dia meletakkan buku 'Recueil des Inscriptions du Siam: Inscriptions de Dvaravati, de Crivijaya et de Lavo' ke atas meja.Dia memandang saya sambil berpeluk tubuh."Saya tidak nampak apa yang istimewanya pada bangsa kamu.Kamu tidak mempunyai Colosseum atau Tembok Besar China.Negara kamu teramat miskin kesan-kesan bukti fizikal yang agung namun anehnya..."

"Apa dia?" saya mengerutkan dahi.

"Setiap catatan Imperial China mencatatkan nama-nama raja-raja city-states dan empayar kamu dari dinasti ke dinasti,para pengembara China mencatatkan kemewahan raja-raja kamu dan kemajuan fizikal kerajaan kamu seperti kota bertembok tinggi,istana dari emas dan sebagainya.Begitu juga catatan-catatan pengembara India,Parsi dan Arab.Mereka mengatakan empayar kamu tersangat luas.Maharaja memakai mahkota emas.Dan kota besar yang disaliri parit di sekelilingnya...."

Saya mengeluh panjang.


Can you feel my love buzz? 
Can you feel my love buzz?
Can you feel my love buzz?
Can you feel my love buzz?*


Paksu mencampakkan gitarnya ke katil.Saya berjalan terkedek-kedek menuju ke bilik paksu.Saya lihat banyak poster kugiran rock ditampal dalam bilik paksu.Poster Cromok 'Forever in Time'.Pearl Jam ketika album 'Ten'.Metallica ketika 'The Black Album'.Bilik paksu bersepah dengan kaset-kaset bertaburan jatuh dari rak ke lantai.Paksu masih terbaring lesu.Di sampingnya berhamburan nota-nota belajarnya dari ITM (sekarang UITM).Saya duduk di lantai sambil menunggu paksu bangun.Saya mahu paksu memetik gitar untuk saya.Kadang-kadang paksu mendukung saya sambil melambung-lambung saya ke atas.Saya akan ketawa terkekek-kekek.Gayat.

Saya tidak sabar lalu bangun dan menyentuh gitar paksu.

Ting...

Tringggg...

Tinnngg...

Paksu terjaga.Matanya bulat memandang saya."Hoi,budak kecik!Jangan kacau paksu,pergi main jauh-jauh!".

Saya senyum menyeringai ke arah paksu."Nak anyin paksuuuu....!"

Paksu menangkap saya lalu diribanya saya."Nak geletek?"

Saya ketawa terkekeh-kekeh."Aaaa nakkk gletekkk,nak anyyinnn..."

Paksu menggeletek pinggang saya.Saya menggeliat sambil ketawa terkekeh-kekeh.Paksu ketawa melihat gelagat saya."Budak comel,duduk sini.Paksu nak main lagu baru..."




Paksu memainkan lagu 'The Man Who Sold The World'.Lagu ini pernah dibawakan oleh Nirvana ketika konsert 'MTV Unplugged in New York' pada 18 November 1993.Perlu dicatatkan bahawa lagu ini bukanlah ciptaan Kurt Cobain mahupun Nirvana sendiri.Ini adalah cover song di mana penyanyi asalnya ialah David Bowie,seorang penyanyi British yang terkenal.Lagu ini sebenarnya mula dikenali secara meluas di seluruh dunia selepas di 'cover song' kan oleh Nirvana walaupun ada artis lain yang turut sama menyanyikannya, sebagai contoh Lulu dan Nine Inch Nails.Menariknya apabila David Bowie menyanyikan lagu ini selepas fenomena Nirvana,generasi terkemudian mengatakan David Bowie membawa cover song dari Nirvana!

"Sesuatu yang begitu aneh bagi saya.Bila saya melawat Malaysia,saya tidak nampak sesuatu dari kesan-kesan kerajaan hebat yang dihebohkan dalam riwayat-riwayat dinasti China mahupun pengembara mereka.Misalnya catatan Chang Chun,duta dinasti Sui yang melawat Chi tu dalam abad ke-7 Masehi:

Kerajaan Chi-tu,yang sama bentuk dengan Funan,adalah terletak di laut selatan.Melalui laut,ia boleh dicapai lebih dari 100 hari perjalanan.Warna tanah di tempat itu adalah merah,dengannya nama kerajaan itu dinamakan.Di timurnya ialah kerajaan Po-lo-la,di barat ialah kerajaan Po-lo-suo dan di selatan ialah Ho-lo-tan.Di utaranya ialah laut.Negeri ini keluasannya beberapa ribu li (1 li bersamaan 6.667 meter persegi).Nama keluarga rajanya ialah Qu-tan,namanya pula ialah Li-fu-dou-sai,"Sophie membacakan rekod kerajaan Sui tentang satu kerajaan yang hilang di kawasan Kelantan-Patani.

Catatan tentang Chi-Tu


Sophie menyambung lagi,"Catatan dari pengembara dan pedagang yang bernama Sulaiman yang mencatatkan satu kerajaan besar bernama Zabaj pada tahun 851 Masehi,kemudiannya dikomentar oleh Abu Zaid Hassan pada tahun 916 Masehi:

Raja Zabaj dikenali sebagai 'Maharaja'....dia memerintah ke atas pulau-pulau yang tidak terkira banyaknya.Pulau-pulau Sribuza,Rami...semuanya kepunyaan Maharaja.Kerajaan maritim Kalah juga di bawah takluknya...pulaunya sendiri adalah subur dan populasi penduduknya sangat padat dan berterusan" 

Saya mengecilkan mata.Serius berfikir.Saya teringatkan satu ceramah agama yang menceritakan kerajaan Nabi Sulaiman a.s yang memerintah seluruh dunia ketika itu.Tiada kerajaan sebelum dan selepasnya yang lebih hebat.Saya teringat akan penemuan kosakata bahasa Ibrani dalam bahasa Melayu terutama dari suku Minang dan kajian bahasa Melayu Kuno era Sriwijaya yang mengandungi beratus-ratus istilah Ibrani Kuno oleh pengkaji Sepanyol.Ada rahsia di sini.Ini bermakna ketika kerajaan Nabi Sulaiman a.s memerintah Israel Raya dan menjadi kuasa dunia kira-kira 1000 tahun sebelum Masehi (perkiraan sarjana Bible),terdapat hubungan antara pedagang Melayu dan Bani Israel.Mengapa kebanyakan orang Melayu memanggil 'father' sebagai 'abah' dimana dalam bahasa Ibrani (Hebrew) ia bermaksud 'father' (Abba)!Jadi ketika kerajaan Sulaiman a.s,kira-kira 1000 tahun sebelum Masehi,orang Melayu telah wujud!

Sophie menyambung kembali catatan pengembara Arab tentang Maharaja dan empayarnya:

"...setiap pagi,kami diberitahu,perbendaharaan kerajaan dibawa,seketul jongkong emas dalam bentuk batu-bata,ke hadapan maharaja yang mana untuk dilontarkan ke sebuah tasik berdekatan istana.Ketika maharaja masih hidup,tiada siapa yang berani mengusik jongkong-jongkong emas di dalam tasik itu.Apabila maharaja mangkat,penggantinya memerintahkan semua jongkong emas di dalam tasik dikeluarkan.Selepas dikeluarkan,emas-emas tadi dikira dan ditimbang,kemudiannya dibahagi-bahagikan di antara kaum kerabat diraja,para jeneral tentera,para hamba dan orang miskin.Bilangan jongkong emas dan beratnya dicatit ke dalam rekod istana dan prestij seseorang raja ditentukan berdasarkan jumlah jongkong emas yang mereka tinggalkan"


Saya menarik nafas.Seakan-akan begitu sesak dada saya.

Sophie memandang saya,"Siti,beritahu saya,beritahu orang-orang Jerman,dimanakah kerajaan emas kamu ini?Bagaimana teknologi jongkong emas boleh wujud di era awal sejarah Malaysia?Ketika Saxons,Norseman,Viking dan Celt berperang sesama sendiri di Jerman dan pesisir pantai Eropah,bangsa kamu mempunyai empayar yang mengeluarkan komoditi emas!It's weird...weird...weird..."

Saya seperti hendak menjerit memberitahu tentang penemuan loji-loji pemprosesan besi di Lembah Bujang yang baru-baru ini ditemui oleh sekumpulan pakar dari USM.Teknologi ini adalah satu-satunya ditemui di Asia Tenggara di mana tamadun lain tidak ditemui loji-loji pemprosesan logam seperti Angkor,Lavo,Mon,Burma mahupun Champa,apatah lagi Sukhotai atau Ayutthaya.Loji-loji besi ini membenarkan catatan seorang pengembara Arab,Abu Dulaf al-Muhalhil yang berasal dari Bukhara,telah singgah di Kalaha (Kedah) pada tahun 940 Masehi:

"Apabila saya sampai di Kalah, saya dapati tempatnya amat indah dengan tembok-tembok kota, taman-taman bunga dan aliran mata-mata air dari bumi. Saya lihat lombong bijih timah yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia ini. Di dalam kota ada tukang-tukang membuat pedang "qala'i" iaitu pedang Hindi yang tulen…seperti di negeri China, terdapat orang-orang yang tidak menyembelih ternakan yang mereka makan. Penduduknya mempunyai sistem keadilan dan mempunyai penjara serta hukuman denda.."

Kalaha (Kedah Tua) ketika itu adalah pemproses besi dan pengeluar pedang untuk dieksport ke luar negara.Pedang-pedang itu,melalui para pedagang India dan Parsi sampai ke tangan para Kaisar dan Kisra,askar-askar empayar Rom dan puak-puak Arab.Kedah juga dikenali sebagai 'Qala'i' oleh orang Arab dahulukala kerana keluaran pedang 'Qala'i' nya yang bermutu tinggi.

Dahulu,catatan pengembara Arab ini mengenai negeri-negeri Melayu pada zaman purba dikatakan fantasi dan khayalan 'The Arabian Nights' oleh sarjana Eropah era kolonial.Namun hari ini,penemuan demi penemuan di seluruh Asia Tenggara mengunci mulut mereka.

"Ok,ini semua bukan seperti kisah 'The Arabian Nights' (Hikayat 1001 Malam) jika kamu membuktikan di mana perginya kerajaan-kerajaan emas kamu itu?Sebelum saya melawat Malaysia,saya telah membaca sebahagian besar catatan Imperial China era Sui,Song dan Tang dan para jurutulis termasuk duta dan diari para pengembara China.Saya membaca rekod kerajaan-kerajaan era Vedic di India tentang 'the ancient Malay city-states' serta membaca prasasti tembaga Nalanda di India tentang keagungan Balaputradewa,Maharaja Sriwijaya.Kerajaan-kerajaan di India juga membina beberapa biara dan kuil untuk 'the emperor of Malays' ini dan sebahagiannya kini dimodifikasi oleh kerajaan-kerajaan selepasnya dan diwartakan sebagai kuil dinasti mereka.Dalam fikiran saya ketika itu,wow!Saya mesti lihat tempat asal semua keajaiban ini.Malaysia.Namun malangnya...saya hanya melihat Stadthuys dan A Famosa di Melaka malah replika kapal besar di muziumnya ialah kapal Portugis,Flor de la Mar...mana perginya kapal-kapal para penakluk dan pembina empayar maritim Asia Tenggara,seperti yang dicanangkan oleh para pengembara Arab dan China?Saya mahu lihat kapal 'The Viking of Orient' ini..."Sophie merenung saya tajam.Apa masalah dia?Seolah-olah saya yang bersalah dalam masalah yang saya sendiri pun tak faham.

Saya menghembus nafas,"Kamu sudah melawat Indonesia?"

Sophie mengangkat bahu."Mengapa pula Indonesia?"

"Sebahagian bukti fizikal empayar maharaja ada di sana..."

"Bukankah kamu dari Malaysia,mengapa saya harus pergi ke negara lain untuk mencari sejarah Malaysia?"

"...not just so called Malaysian history..ini sejarah The Malays...dahulu tiada negara-negara yang bernama 'Malaysia' atau 'Indonesia',these crap were created by imperialism.The Malays,adalah 'the skilled seafarers' dan 'knowledgeable in oceanography'.Sejarah mereka boleh ditemui merata-rata di seluruh Asia Tenggara.Rumah mereka ialah Asia Tenggara.Remember this again,their home is not only Malaysia...not only Indonesia...but Southeast Asia,Southeast Asia.."Saya melontarkan kata-kata.

Sophie enggan mengalah,"Jadi kamu hendak mengatakan tentang Borobudur?Kalasan?Candi-candi di Indonesia?Saya boleh terima jika kita bercakap tentang Sriwijaya.Tetapi bagaimana pula dengan Langkasuka?Juga sebuah 'federation' untuk semua city-states Mon and Malays?"

Sophie membacakan catatan Liang-shu (The History of Liang Dynasty) kira-kira 515 Masehi,

"...kota kerajaan Lang-hya-shu dikelilingi oleh tembok tinggi dan mempunyai dua pintu gerbang,menara-menara dan balai-balai.Raja mengenderai gajah dan dibayangi dengan payung putih dan pengibas.Raja diringi oleh bendera-bendera,panji-panji dan gendang.."

Saya seperti tahu apa yang ingin dikatakan oleh Sophie Jan Rothsmarck sebentar lagi.Ah,damn!

"Langkasuka tidak ada kaitan dengan Indonesia hari ini.Setuju?Langkasuka terletak dari kawasan Kedah-Kelantan,menyelusuri Segenting Kra hingga mencapai selatan Thailand Tengah.Ia menyatukan beberapa negarakota Mon dan Melayu dan menguasai pelabuhan-pelabuhan di sepanjang Segenting Kra.Siti yang bijaksana...di manakah kota bertembok tinggi dengan dua pintu gerbang itu pada hari ini??"



Kota bertembok tinggi dan dua pintu gerbang.Kota bertembok tinggi dan dua pintu gerbang.


Kota bertembok tinggi


...dan dua pintu gerbang.




Saya merenung sungai yang hitam berkeladak di bandar Sungai Petani,Kedah.Saya termenung lama.Suasana senja di Sungai Petani amat mengasyikkan.Saya lihat beberapa budak-budak gothic berjalan berkelompok menuju ke CS (Central Square) dari arah stesen bas Sungai Petani.

Saya mahu ke Gunung Jerai.

Ada seorang lelaki pertengahan umur yang memanggil saya 'putri' mahu menemui saya.

Katanya di atas gunung itu ada sebuah istana raja zaman dahulu.Dia mahu saya 'tengokkan'.

Di dalam bas loncat,saya tertidur.Senja di luar memancarkan cahaya kemerah-merahan.Seolah-olah warna kain bidai di istana raja Ketomala dalam riwayat Kemboja.Dari jauh saya dapat lihat puncak gunung Jerai.Kemudian saya tertidur.

Saya lihat dalam mimpi saya wajah Pong dan Sophie Jan Rothsmarck.

















~The Naga King's Daughter

Wednesday, December 21, 2011

Catatan Srikandi X




Catatan Srikandi X






Penafian/Disclaimer: Setakat ini penulis iaitu Srikandi/Cik Seri tidak mempunyai sebarang akaun Facebook.Akaun Facebook yang menggunakan nama penulis dan hasil kajiannya ialah peminat yang berlagak seperti penulis.Penulis tidak menghalang mana-mana fans membuka medium penyebaran namun menyamar dengan mengekploitasikan nama penulis dan kajiannya adalah sesuatu yang tidak beretika dan memalukan.Penulis menganjurkan (recommendation) akaun fans seperti FB Alter Terahsia Bangsa Melayu dan FB Mistisfiles (admin kedua-duanya tiada kaitan dengan Mistis Organization) yang walaupun menggunakan nama dan kajian tetapi tidak berlagak seolah-olah penulis atau dari organisasi.Harap maklum.









"The girl who sold the world"





Kadang-kadang pada waktu malam,sebelum melelapkan mata,saya selalu memandang siling sambil berangan-rangan.Tipikal gadis yang perasan dirinya kanak-kanak manja.Hmmm.Kadang-kadang saya fikir masa depan,kadang kadang saya fikirkan kematian.Oh.

Sambil memandang bintang-bintang 'glow in the dark' di siling saya terus berangan-rangan tentang kisah-kisah lampau saya.Kenangan bersama ibu dan ayah.Saya terkenangkan wajah ibu yang lembut dan jelita.Tipikal wanita Melayu 'terakhir'.Kenangan bersama ibu dan ayah menyesak-nyesak dalam memori.Kadang-kadang saya tersenyum sendiri,kadang-kadang sedar tak sedar,air mata tumpah ke pipi.

Kenangan itu bagaikan kabus lautan di pagi hari.Bila kita mahu mencapainya,kita tidak menemui apa-apa.Kekosongan.

Pada malam yang sepi itu saya terdengar bunyi muzik dari rumah seberang.Rumah yang diduduki anak-anak bujang pelajar universiti (?) yang minat muzik dan gajet-gajet mahal.Tapi bergantung harap pada pinjaman PTPTN.Cuma sesetengah dari mereka yang saya diberitahu (sudah tentu saya pernah berborak dengan mereka) memiliki bisnes MLM yang 'membanggakan'.



 "Grandma take me home...*
grandma take me home...."



 Saya memeluk bantal Garfield saya,kemudian mula berangan jauh ketika kecil,saya teringatkan bapa saudara saya.Kami memanggilnya "paksu" sebab dia yang paling bongsu.Paksu memang 'rugged' orangnya.Dia memang hantu muzik.Zaman itu muzik rock di Malaysia memasuki era 'leleh' dan 'lentuk' dengan vokal mendayu-dayu dan struktur lagu  yang lebih 'emo' (My Chemical Romance versi Melayu) dan meleret-leret.Namun ketika itu paksu saya sudah melayan muzik 'Seattle sound' seperti Mudhoney,Pearl Jam dan Soundgarden.Ada yang saya tertinggal?

Saya tidak terkejut jika di kala itu ada anak muda kita yang mula menjelajah versi muzik baru setidak-tidaknya The Pixies dan R.E.M yang menjadi rujukan band-band grunge itu.Butterfingers pernah dikritik kerana 'Seattle sound'nya dan OAG mula mendapat perhatian.



 "Said why don't you stop your crying
Go outside and ride your bike
Thats what I did, I killed my toe..."



Saya benar-benar rindukan paksu.Paksu seorang yang tampan.Saya akuinya.Zaman itu remaja lelaki suka memakai baju flannel atau kemeja kotak dengan t-Shirt di dalam.Dengan jeans yang tak berbasuh selama berbulan-bulan dan memakai baju kumal atau baju bundle (oh ya...saya fikir tahun 1993-1994 ialah permulaan zaman bundle di Malaysia) yang lusuh,mereka mula melalak lagu-lagu Nirvana.Paksu sanggup menghabiskan duit kerjanya semata-mata untuk membeli gitar karan (electric guitar).Selepas itu dia membeli overdrive pedal dan kemudian distortion membuatkan atuk saya mengamuk dengan bunyi bingit dari biliknya.





"Dalam rekod purba dari manuskrip-manuskrip Mon dan Pyu city-states,terdapat satu petunjuk mengenai kerajaan Kunlun Besar yang dijumpai dalam rekod para pengembara Cina...," Sophie Jan Rothsmarck,gadis Jerman yang sempat bersama saya dalam satu program pada Disember 2008 yang lalu.

"Dimana tu?" saya bertanya kepada Sophie.

"Dalam manuskrip yang ditulis ketika era pemerintahan Alaungsithu dari kerajaan Pagan di Burma.Lihat fragmen ke-35,menunjukkan bahawa raja 'Ayi' mempunyai kegemaran melaga ayam dan menyimpan 'pisau' sebagai perhiasan selain senjata.Manuskrip ini ditulis berdasarkan 19 catatan suci pada daun yang ditulis oleh para pendeta Buddha ketika kewujudan Pyu city-states," Sophie menjawab panjang lebar.

Saya melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Sophie pada jurnal para pengkaji Burma dan Lao yang dikeluarkan pada Mei 1996."Kira-kira abad ke-2 Sebelum Masehi...catatan-catatan dari orang-orang Pyu yang sudah pupus pada hari ini mengatakan tentang satu kerajaan yang berjiran dengan mereka...," saya berbisik perlahan.



"What do you think,Siti?" Sophie merenung mata saya,meminta pandangan.

Saya membacakan catatan pengembara China,dari rekod Sin Tang Chou:

"Dari Mi-tchen,kami tiba di Kouen-lang di mana hidup satu puak dari Kunlun Kecil;rajanya bernama Mang-si-yue;budayanya sama seperti  Mi-tchen.Dari Kouen-lang,kami telah di Lou-yu di mana ia adalah kerajaan bagi raja Kunlun Besar.Rajanya bernama Seu-li-po-po-na-ta-chan-na.Negerinya lagi besar dari Mi-tchen.Dari sini kami tiba di Tcha iaitu di Moti-pa dalam masa separuh hari".

Saya mengalihkan pandangan kepada gadis Jerman itu.

"Sophie,Lou-yu adalah nama orang-orang Cina Purba berikan kepada orang Melayu pada masa lalu berdasarkan panggilan orang Melayu sendiri kepada nama bangsa mereka iaitu 'Malayu'.Dan Kunlun adalah juga antara nama yang biasa diberikan oleh mereka merujuk Melayu purba.Dua petunjuk ini memang kuat,bahawa ada negarakota Melayu di Indochina sejauh wilayah Burma pada hari ini.Tidak hairanlah pengkaji Khmer mengatakan rekod Angkor menunjukkan ada sebuah wilayah city-states Melayu di Battambang dalam wilayah Kemboja pada hari ini.Jika orang Cina Purba menyebut negeri Melayu sebagai Mo-Lo-yu,maka pemerintah Angkor menyebutnya sebagai Ma-la-yang," saya memandang mata biru Sophie.

"Saya setuju dengan awak,Siti,mujurlah Yazakumar,wakil pemerintah di utara Arakan telah mengarahkan pembinaan inskripsi Myazedi.Dari sini kita dapat menyahkod bahasa Pyu yang sudah pupus melalui 3 lagi bahasa lain yang dipahat pada batu bersurat itu..." Sophie terhenti apabila saya memotong.

"...Burma,Mon dan Pali...ya tiga bahasa yang juga dipahat bersama,bijak putera Kyansittha (seorang raja dari Dinasti Pagan) itu."


Prasasti Myazedi


Saya memunggah salinan-salinan manuskrip-manuskrip berbahasa Pali yang ditemui di seluruh Burma terutama di kawasan negarakota Pyu paling selatan iaitu Sri Ksetra.Sri Ksetra adalah tapak arkeologi yang paling besar berbanding tapak-tapak arkeologi Pyu city-states yang lain.Dipercayai Sri Ksetra pernah berhubung dengan beberapa kerajaan atau empayar Asia Tenggara yang terkenal seperti Champa,Funan,Tambralinga,Pan-Pan,Chih-Tu dan empayar maritim Sriwijaya.Manuskrip-manuskrip ini sempat difotokan oleh mubaligh,pegawai kolonial,pedagang dan pengkaji dari Eropah.Kemudian spesimen foto lama tadi diproses semula ke dalam bentuk digital dan dinaiktarafkan mutunya.

Pyu adalah satu kaum berbahasa Tibetan-Burma yang dipercayai terawal menduduki kawasan yang dinamakan Myanmar pada hari ini.Malah orang Burma banyak menyerap sebahagian budaya dan bahasa Pyu ke dalam ketamadunan Burma,sama seperti yang mereka lakukan kepada orang Mon terutama ketika kebangkitan kerajaan Pagan.Hari ini sejak jatuhnya semua negarakota Pyu ke tangan orang Burma dari kerajaan Pagan,maka perlahan-lahan orang Pyu pupus ciri-ciri kebudayaan mereka,bahasa dan identiti.Semua orang Pyu telah terserap ke dalam kebudayaan Burma.Menjelang abad ke-13,orang Pyu lenyap sepenuhnya dari muka bumi.Perlu dicatatkan di sini,hubungan orang Pyu dengan orang Burma seperti hubungan orang Melayu dan Jawa;adik-beradik serumpun.Bahasa Pyu dekat dengan bahasa Burma Kuno.





"....ayat ini mengatakan,dari garis raja-raja kami warisan Sri Ksetra dan Tagaung memerintah negeri ini dengan dharmapala dan kemuliaan shakya...," Sophie membacakan salah satu terjemahan dari manuskrip dalam kelompok fragmen bernombor 55."Pada hari ini,gigi Sang Buddha selamat ditahbiskan di dalam Pagoda Seribu Syurga.Para pendeta memandikan para pendosa dengan air suci dari Tambrabhumi..."

"....berhenti.Saya rasa di situ," mata saya ke kanan dan ke kiri.Memikirkan sesuatu.Sophie menyandarkan bahunya pada tubuh kerusi.

"Yes...Tambralinga!" saya dan Sophie seakan-akan menjerit serentak."Wait...wait.." tiba-tiba saya menukar suasana.Saya tersedar sesuatu.

"Tambra bermaksud kemerah-merahan.Kita boleh katakan juga perkataan 'tambrabhumi' bermaksud 'Tanah Merah'.."

"Chih-tu?" mata Sophie bersinar.

"Hmmm.....," saya terkenangkan Tanah Merah di Kelantan.Tempat itu memang misteri.Pyu city-states,Tambralinga,Chih-Tu,Tanah Merah,Lawasangharata,Chiang Mai,Pagan.....oh...senarainya akan berterusan.Bisnes maritim orang Melayu pada masa lalu telah menghubungkan 'puzzle-puzzle' yang hilang dengan kerajaan-kerajaan orang Pyu dan Mon.Boleh dikatakan sistem beraja orang Kelantan boleh dijejak sehingga era abad ke-2 Sebelum Masehi dengan kenyataan bahawa raja-raja Melayu dahulu menghantar anak-anak mereka ke merata Indochina,membuka negarakota dan dirajakan oleh kaum-kaum Tibetan-Burma atau Mon-Khmer.Ini ada dikisahkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

Menyebut tentang Hikayat Merong Mahawangsa,ia lebih menceritakan susur galur raja-raja dalam 'federation' Segenting Kra (Kra Isthmus),Langkasuka yang terkenal itu.Langkasuka ialah sebuah empayar yang menggabungkan beberapa negarakota Melayu dan Mon di sepanjang Segenting Kra sehingga mencapai Dvaravati,'grand Mon city-states' yang terletak di tengah Thailand sekarang ini.Langkasuka adalah penerus Kedah Tua,kerajaan purba yang mempunyai catatan yang agak meriah dalam rekod negara-negara luar.Hubungan orang Melayu dari kerajaan Kedah Tua dan Langkasuka dengan negarakota-negarakota Mon menyaksikan pengaruh-mempengaruhi terutamanya dari segi dialek bahasa Kedah pedalaman yang pekat,anda akan jumpa beberapa perkataan Mon-Khmer di dalamnya.Mungkin juga perkataan-perkataan itu adalah asal dalam bahasa Melayu namun di'Mon-Khmer'kan.Kita kurang pengetahuan berkenaan dengannya sementelah kita kekurangan ahli linguistik yang punya minor dalam bidang sejarah dan arkeologi.Perlu dicatatkan di sini,kadangkala dialek-dialek Malayu-Mon itu kerapkali dicop sebagai 'Siam' dan hari ini Siam dirujuk sebagai orang Thai di Thailand,satu bangsa tiada kaitan sama sekali dengan Malayu dan Mon.

"Lihat ini Siti...," sebuah foto lama keadaan di dalam ruang suci sebuah kompleks pagoda di Bagan.Kelihatan banyak relik di dalamnya,bersusun-susun.Keterangan menunjukkan foto ini diambil ketika era Perang Inggeris-Burma Ketiga.Di antara relik-relik seperti kitab-kitab suci,gulungan-gulungan fabrik bertulisan dan lainnya terselit sebilah pisau berkeluk-keluk.

"...adakah ini..."

"Kris?You mean that?" saya merenung foto itu.

Anawrahta (1044–1077) telah menubuhkan Empayar Pagan,dengan menakluk banyak negarakota Mon yang tersisa.Kemudian mereka menuju ke selatan dan bertemu dengan beberapa negarakota-negarakota kecil yang bertutur dalam bahasa Melayu loghat utara!Sehingga kini,orang-orang Melayu di selatan Burma adalah keturunan orang Kedah.Malah nama Banjaran Tenasserim diambil dari bahasa Melayu 'Tenang Siram'.Orang Burma dan kita telah berhubung lama sebelum era Sriwijaya!





"...Pyu city-states seperti Halin,Beikthano,Maingmaw,Binnaka juga mempunyai jaringan perdagangan dengan kerajaan Kedah Tua dan Langkasuka.Seperti yang kita maklum,Malay city-states di Segenting Kra mempunyai kelebihan akses ke perdagangan laut antarabangsa,manakala faktor geografi Pyu city-states menghadkannya untuk terlibat aktif dalam perdagangan maritim.Jadi Pyu city-states bertindak sebagai hub-hub pengumpulan hasil hutan dan pertanian untuk keperluan pelabuhan-pelabuhan entreport Langkasuka dan Kedah Tua," kata Sophie.

Saya teringatkan Pong,pemuda Thailand yang menjadi secret admirer saya.Dia bersungguh-sungguh mengajak saya ke sebuah kuil purba di Ranong.Katanya dia ingin menunjukkan secarik kain suci yang tergantung di sebuah palang di sana.Masuk ke kuil purba itu,sami menunjukkan isyarat sesuatu.Pong tunduk berlutut.Saya masih berdiri.Pong memandang saya dengan wajah berkerut.Dia menarik tangan saya.

"Pong,saya tidak boleh berbuat begitu.Agama saya melarang saya menunjukkan apa-apa tanda penyerahan pada patung-patung.Beritahulah sami itu,senyuman manis saya adalah tanda menghormatinya kerana lebih tua dari saya," saya menjelaskan sebaik mungkin agar Pong tidak tersinggung.

"Ok...ok...nevermind.Your sweet smiles,saya kira sami itu tidak berkecil hati malah Lord Buddha akan bergembira bila melihat senyuman awak yang seksi itu..." Pong mengenyitkan mata ke arah saya.

Saya menggeleng-gelengkan kepala dengan mulut sengaja dimuncung-muncungkan sambil mata menjeling ke arah lain.Nakal sungguh!

Pong membawa saya ke satu ruangan yang nampak sulit.Di dalamnya terdapat satu patung Buddha sederhana besar.Pong mendongak.Saya pun mendongak.SElembar kain kuning lusuh yang mendebarkan tergantung melayang-layang.Oh,apa yang saya nampak?

Ketika kerajaan Sukhotai (1238–1583) mula melebarkan pengaruhnya di utara,raja-rajanya mula membuat hubungan dengan Tambralinga di selatan.Satu fakta yang jarang diketahui,agama Buddha Theravada yang dianut oleh orang Thai sekarang adalah hasil dari tindakan raja-raja Sukhotai mengimport sami-sami Melayu dari Tambralinga.Sesetengah pengkaji (majoritinya nasionalis Thai) selalu menulis bahawa ajaran Buddha Theravada di Thailand,berasal dari sami-sami Sri Lanka.Sebenarnya,majoriti pengaruh Buddha Theravada orang Thai awal adalah dari sami-sami Tambralinga.Ini kerana ketika kerajaan Chola menyerang Sri Lanka,ramai sami terbunuh sehingga ada catatan mengatakan raja Sri Lanka ketika itu,Vijayabahu meminta Anawrahta,raja Burma menghantar sami-sami untuk menyegarkan kembali agama Buddha di sana!Jadi ini bertepatan dengan catatan sejarah yang mengatakan pada sekitar abad ke-12 dan 13,Tambralinga atau Sri Dharmaraja menjadi pusat pengembangan agama Buddha yang terpenting.Sebab itu apabila raja Patani memeluk Islam,raja Ligor (Sri Dharmaraja) masih pekat dengan agama Buddhanya.Walaupun bersaudara,namun kerana perbezaan agama,raja Ligor sanggup bermusuh dengan Patani dan menyebelahi kerajaan Siam (Ayutthaya) yang seagama dengannya.Kita maklum bahawa Ligor dilantik menjadi 'supervisor' oleh Kerajaan Siam (Ayutthaya dan dinasti Chakri) untuk mengawal negeri-negeri Melayu utara.



Meneliti riwayat-riwayat Mon,Pali,Pyu juga Khmer menginsafkan saya betapa konotasi 'Melayu berasal dari Sumatera' atau 'Melayu pelarian dari Sumatera' berdasarkan sejarah Melaka yang kurang difahami adalah kenyataan yang teramat jumud,sempit,kebudak-budakan dan tidak berpelajaran.Memahami riwayat-riwayat dari kaum-kaum Indochina ini membuka pandangan yang teramat sempit perihal bangsa Melayu yang selama ini tidak atau kurang kita ketahui.Betapa kita punya sejarah di merata-rata Asia Tenggara.Di semenanjung,di Borneo,di Sumatera,di Jawa,di Filipina hingga ke Pasifik dan tanah besar Asia,Indochina.Jika menuduh Melayu dari Sumatera,bagaimana dengan orang Melayu utara dan pantai timur yang punya sejarah beribu tahun dengan Funan dan Champa serta hubungan istimewa dengan orang Mon,Khmer dan Burma jauh sebelum kewujudan Sriwijaya dan Majapahit?

Damn!Kita selama ini menjadi musuh kepada apa yang kita tidak fahami.

Memahami diri sendiri rupanya begitu sukar.Kelak kita akan tahu siapakah diri kita yang sebenarnya.

"...I fell asleep, and watched tv
Woke up in my Mother's arms!!!"


Paksu melalak lagi.Saya memandang ke arah pintu bilik paksu.Saya berjalan bertatih ke arah pintu dan mengetuk-ngetuk pintu dengan botol susu saya.Paksu masih melalak lagi.Saya pun mengetuk-ngetuk dengan lebih keras.Tiada kedengaran suara paksu.Pintu terkuak,wajah paksu terpacul."Woi budak kecik,nak apa?"

"Nak ainnnnyiin anyii paksuuu..."

"Masuklah...dok diam-diam situ," Paksu membenarkan saya masuk walaupun dalam nada tidak mengalu-ngalu.

Saya memerhatikan paksu melalak lagu Dive,Aneurysm,In Lithium dan seterusnya...dia semakin lupa dunia dan terlompat-lompat sambil memegang gitar karannya.Tiba-tiba saya meluru ke depan dan mengetuk-ngetuk botol susu ke kotak amplifier milik paksu.Paksu masih melalak.Kemudian saya memusing-musingkan penutup botol,meniru perbuatan ibu bila mengisi susu ke dalam botol.

Saya pun menyimbah air susu ke badan amplifier paksu.




Tiba-tiba keadaan senyap sedikit.Saya ketawa.Bertepuk-tepuk tangan tanda gembira.Saya seperti telah berjaya menghapuskan kejahatan.Saya melompat dan ketawa lagi.Kemudian apa yang saya sedar,tubuh saya melayang dan tersepuk ke penjuru dinding!

Rupa-rupanya paksu menghempuk saya dengan gitar karannya!

Ibu terpacul serta-merta.Paksu masih tergamam.Ibu mendukung saya sambil mengusap-ngusap belakang saya.Saya seakan masih terdengar suara amukan atuk,dan aksi paksu terjun tingkap dan berlari entah ke mana.

Kini paksu bekerja di luar negara.Saya jarang menemuinya,cuma ketika Hari Raya setahun yang lalu,saya sempat bertemu dengannya.Bila saya bangkitkan kisah saya dihempuk dengan gitar,paksu tersengih-sengih malu,oh!cute nya paksu.Paksu masih tampan seperti dahulu.Namun tidak lagi memakai jeans yang tidak berbasuh berbulan-bulan.

Malam itu,saya memeluk bantal Garfield sambil berangan-angan.Wajah paksu hilang dan saya mula menyanyi perlahan mengikut muzik dari rumah pelajar-pelajar bujang itu.Saya menyanyi dan menyanyi,seperti paksu dahulu ketika menjiwai lagu-lagu grunge.Saya tidak sedar bila saya terlelap.




Grandma take me home 19x
I wanna be alone








 














*Sliver,Nirvana












~Srikandi
all apologies....

Thursday, December 1, 2011

The Origin of The Sea Dragon






Kira-kira abad ke-6 Masehi,seorang raja dari negeri Chenla telah berjaya menakluk seluruh jajahan Funan,sebuah empayar lagenda Indochina dan Asia Tenggara.

Raja itu kemudiannya memerintahkan tukang ukirnya memahatkan kejayaan itu dalam sebuah batu bersurat yang akan diletakkan di dalam sebuah kuil suci.Dalam batu bersurat itu,raja tersebut,Bhavavarman II...telah menggelarkan dirinya sebagai,

"Mala Malayu iva Malayam raja"

yang bermaksud:Raja Mala dari Malayu...

Nun jauh di pedalaman,mitos tentang naga-naga laut yang bernama Seri Gumum,Seri Pahang dan Seri Kemboja berlegar-legar di kalangan masyarakat orang Jakun yang tinggal di sekitar Tasik Chini.Cerita tentang naga-naga laut itu diwarisi dari zaman-berzaman,mengungkapkan rahsia antara orang Melayu dan suku-suku Mon-Khmer pada zaman purba.

Lagenda Khmer mengatakan bahawa seorang lelaki yang bijaksana telah berjaya menawan hati seorang puteri dari keturunan 'Naga'.Catatan China dari pelbagai dinasti termasuk Dinasti Qi menyebutkan nama puteri ini;Ye-ye yang diterjemahkan oleh pengkaji Eropah sebagai:Coconut Leaf...

Anehnya,sejarahwan Champa yang berkongsi budaya dengan dunia Melayu menuliskan nama puteri itu sebagai:Mayang Mengurai...

Dalam catatan yang lain ada menyebutkan tentang 'Mala Dynasty' iaitu nama sebuah dinasti purba yang dikenali sebagai pemerintah 'Malayang' yang muncul dalam banyak manuskrip purba Khmer sebagai 'negeri-negeri Malayu'.Bangsa Malayu dicatat dalam lagenda Khmer sebagai keturunan yang berasal dari Naga Laut Mohodhara yang menyukai bunga-bungaan...

Menariknya,raja-raja Lao awal menggunakan gelaran diraja 'Sisattanakanahok' yang berasal dari kata 'Sri Si Antan Naga Nahud' iaitu gelaran raja-raja Melayu purba terutamanya oleh Raja Champa,Simha Jayavarman.

Terdapat beberapa rahsia lagi yang tertulis dalam kitab-kitab kuno dalam tulisan Pali di sebuah kuil purba di Thailand...

Dan di dalam 'circle' para penulis kerohanian Eropah,ada mengungkapkan tentang sebuah peradaban silam yang tenggelam di lautan Pasifik...




...........


.....

...


...


...



...


..



...



..




.





.




....dari kitab-kitab purba Mon seperti Chamadevivamsa dan Jinakalamali...

dari rahsia-rahsia yang tersembunyi di dalam Chiang Mai Chronicles...

dari epik La Galigo yang penuh misteri...

bait-bait dalam kitab Pararaton...

kain suci yang tergantung dalam sebuah wat purba di Ranong,Thailand...

petunjuk-petunjuk dalam Hikayat Merong Mahawangsa...

makna-makna yang sulit di dalam prasasti-prasasti Angkor

rahsia yang terlakar pada tembok runtuhan di My Son,Vietnam...

laluan sepi ke kota Gelanggi...

kotak misteri di dalam runtuhan pagoda di Bagan,Burma

pintu rahsia ke bawah tanah Borobudur,Indonesia

ukiran-ukiran di Angkor Wat...

manuskrip-manuskrip purba kaum Batak Simalungun di Danau Toba...

lembar-lembar lusuh di sebuah kuil tua di Luang Phrabang,Laos..

makam purba di belantara,Brunei Darussalam...

tulisan-tulisan pada batu besar di Papua dan Maluku...

mitos puak-puak aborigine di Hawaii...

dari rekod-rekod imperial China seperti Book of Song,Book of Liang,Book of Wei,Book of Sui

dan catatan-catatan para pengembara China seperti Chi Tu Gou Ji,Chan Chun,Pei Su dan Chao Ju Kua.....



di sana...


ada sesuatu...




























AKAN DATANG


































Mei 2012







































"The Origin of The Sea Dragon"

Alter Terahsia Bangsa Melayu ver4.0 Deluxe











































antara kajian menarik:
Rahsia dari Prasasti
Petunjuk Tersembunyi dalam Jinakalamali
Mitos di kalangan penduduk Polynesia
Legenda naga dalam masyarakat Jakun
Lagenda naga dalam kesusasteraan Khmer
Naga Soma,Mayang Mengurai dan Ye ye

dan banyak lagi...







disusun oleh
~Srikandi